Penganggur bunuh rakan berdepan hukuman gantung
ALOR GAJAH - Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Gajah di sini hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang rakan lelakinya bulan lalu.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan oleh AS Sitambarasan di hadapan Majistret Nurhasmanita Abdul Manap.
Sitambarasan, 28, didakwa bersama dua individu lagi yang masih bebas mencapai niat bersama membunuh Sua Chun Chai, 31, yang juga seorang penganggur di hadapan sebuah bengkel kenderaan di Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Pulau Sebang di sini antara 14 September hingga 17 September lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 kanun yang sama kerana membunuh dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.
Nurhasmanita menetapkan 16 November depan sebagai sebutan semula kes bagi menunggu laporan bedah siasat dan laporan kimia kes berkenaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, SR Arthana, manakala Sitambarasan tidak diwakili peguam.
Pada 17 September lalu, Sinar Harian menyiarkan kejadian sebuah kereta terbakar di Kawasan IKS Kuala Ina, Pulau Sebang telah membongkar penemuan sebuah beg hitam berisi mayat dalam kenderaan itu.
Pasukan Bomba dan Penyelamat Balai Bomba Alor Gajah dan Tampin, Negeri Sembilan menemui beg berkenaan selepas melakukan kerja-kerja memadam kebakaran kereta Honda Civic Ferio itu di hadapan sebuah bengkel kenderaan lebih kurang jam 8.09 minit pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!