Peniaga kecil rugi RM17,540 diperdaya sindiket Forex

NOORZAINY
NOORZAINY
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang peniaga kecil-kecilan rugi sejumlah RM17,540 apabila diperdaya sindiket pelaburan Forex yang menawarkan pulangan keuntungan berlipat kali ganda hanya dalam tempoh 24 jam melabur.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa hanya mahu membuat pelaburan mengikut Pelan 1 dengan permulaan bayaran sebanyak RM250.

Menurutnya, bagaimanapun mangsa yang tinggal di Kepala Batas itu diminta membuat beberapa bayaran tambahan terlebih dahulu jika mahu wang keuntungan dibayar.

"Mangsa dikatakan menerima pelawaan seorang individu melalui aplikasi WhatsApp untuk melabur dalam pelaburan matawang asing yang patuh syariah serta menjanjikan pulangan keuntungan dalam tempoh yang singkat.

"Mangsa telah berkomunikasi dengan seorang wanita yang mendakwa ejen syarikat tersebut. Suspek memujuk mangsa untuk melabur pada jumlah yang kecil dahulu dan berpeluang mengaut keuntungan segera berjumlah RM 8,877 selepas dua jam memasukkan wang," katanya ketika dihubungi tadi.

Katanya, mangsa kemudiannya dipaksa membuat beberapa bayaran jika mahu menuntut wang keuntungan tersebut.

"Dia yang percaya dengan kata-kata suspek telah membuat sembilan transaksi berjumlah RM17,540 ke dua akaun bank yang diberikan ejen tersebut kononnya untuk menikmati pulangan keuntungan yang luar biasa.

"Mangsa menyedari dirinya ditipu setelah ejen tersebut mendiamkan diri tanpa menghubunginya. Dia kemudiannya datang ke balai polis untuk membuat laporan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, polis masih menjalankan siasatan bagi memperoleh maklumat akaun-akaun individu terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!