Perak teruskan aktiviti seperti biasa

Ahmad Faizal (tiga dari kanan) bergambar bersama tetamu jemputan sebelum merasmikan Seminar Integriti Peringkat Negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina, Bandar Meru Raya hari ini.
Ahmad Faizal (tiga dari kanan) bergambar bersama tetamu jemputan sebelum merasmikan Seminar Integriti Peringkat Negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina, Bandar Meru Raya hari ini.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak setakat ini tidak akan menangguhkan sebarang program mahupun aktiviti sosial dan perniagaan susulan peningkatan mendadak jumlah kes pandemik koronavirus (Covid-19) di seluruh negara.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, bagaimanapun pihaknya akan sentiasa memantau perkembangan semasa dan mendapatkan nasihat daripada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurutnya, perkara paling penting dilakukan ketika ini adalah pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) oleh semua pihak seperti penjarakan fizikal, membasuh tangan dengan kerap dan menjaga kebersihan secara optimum.

"Saya harap rakyat tidak panik sebab saya nampak di media sosial orang dah panik, ada yang marah kepada orang politik. Sebenarnya Covid-19 tidak pilih sama ada orang itu Presiden Amerika Syarikat ke, orang biasa ke, ia tak pilih.

"Bukan salah segolongan orang itu, ia boleh kena kepada semua orang, jadi yang penting setiap kita perlu menjaga SOP," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Integriti Peringkat Negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina, Bandar Meru Raya di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Pegawai Kewangan Negeri Perak, Datuk Zulazlan Abu Hassan; Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Timbalan Ketua Pengarah Dasar dan Strategik Jabatan Perdana Menteri, Mohd Gunawan Che Ab Aziz.

Ahmad Faizal berkata, kesemua aktiviti yang dijalankan di Perak akan mengguna pakai SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) seperti yang diumumkan sebelum ini.

Jelasnya, pandangan daripada semua agensi terlibat akan diambil kira sebelum sesuatu keputusan itu dibuat.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu dalam ucapannya, Ahmad Faizal mengesahkan dirinya bebas daripada jangkitan Covid-19 setelah membuat tiga kali ujian saringan dalam tempoh kuarantin kendiri selama 14 hari selepas pulang dari Sabah.

Sebelum ini, beberapa negeri seperti Melaka, Kedah, Selangor dan sebagainya sudah pun mengumumkan pembatalan semua program rasmi masing-masing serta acara besar melibatkan penyertaan orang ramai.

Semalam, jumlah kes positif Covid-19 mencatatkan rekod harian tertinggi iaitu 432 kes baharu termasuk dua kes berlaku di Perak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!