Jemaah masjid bersalam, dekati Zulkifli disaran buat saringan
RAWANG - Jawatankuasa Masjid Saidina Ali di sini menyarankan agar jemaah yang bersalam atau berada dekat dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal-Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Muhammad Al-Bakri pada Sabtu lalu agar menjalani kuarantin 14 hari di rumah dan membuat saringan koronavirus (Covid-19) di hospital terdekat.
Pengurusan masjid berkenaan memaklumkan, menerusi kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Facebook rasmi memaklumkan Zulkifli telah hadir untuk menunaikan solat Zuhur di Masjid Saidina Ali pada 3 Oktober lalu sekitar jam 1.45 petang hingga 2 petang ketika dalam perjalanan menghadiri program di Darul Quran.
"Namun begitu, beliau (Zulkifli) tidak menggunakan ruang dewan solat utama untuk bersolat tetapi bersolat di ruang legar masjid.
"Pihak Masjid Saidina Ali telah mengambil langkah pencegahan iaitu keseluruhan kawasan termasuk ruang legar, tandas dan kawasan wuduk masjid telah disanitasi," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Katanya, difahamkan tiada jemaah berada dekat dengan Zulkifli.
"Bagaimanapun jemaah yang bersalam atau berada dalam jarak dekat dengan beliau (sekiranya ada) adalah diminta untuk mengambil langkah kuarantin 14 hari di rumah dan membuat ujian Covid-19 hospital terdekat sekiranya terdapat gejala pandemik itu.
"Pihak Masjid Saidina Ali akan mengeluarkan notis atau pengumuman dari masa ke masa sekiranya ada arahan lanjut mengenai perkara ini sama ada melalui Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Selangor atau Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya.
Hari ini, Zulkifli menerusi hantaran di akaun Twitternya mengesahkan di positif Covid-19 dan sedang menjalani rawatan di hospital.
Beliau turut menyeru orang ramai yang pada hadir majlis dihadirinya dari 24 September lalu hingga 4 Oktober ini supaya menjalani pemeriksaan saringan Covid-19 di mana-mana klinik kesihatan dengan segera.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!