MELAKA - Seorang pengawal keselamatan warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lembam pada bulan lalu. Jaafar Omar, 65, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Norma Ismail. Berdasarkan pertuduhan pertama, warga emas itu didakwa melakukan persetubuhan terhadap mangsa berumur 11 tahun lapan bulan tanpa kerelaannya kira-kira jam 10.30 malam di pondok keselamatan sebuah syarikat di Jalan Malim di sini pada 25 September lalu. Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan. Manakala pertuduhan kedua, dia didakwa telah melakukan amang seksual fizikal ke atas kanak-kanak sama pada waktu, tempat dan tarikh sama. Sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017. Jaafar turut didakwa memiliki telefon bimbit yang mengandungi video lucah pada jam 1.15 petang di hadapan sebuah rumah di Taman Mutiara Malim pada 27 September lalu. Sabit kesalahan bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. Jaafar dipercayai mengenali mangsa menerusi aplikasi WhatsApp sebelum mengajak kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU) pembelajaran itu untuk berjumpa. Timbalan Pendakwa Raya, Mazuin Hashim memohon mahkamah untuk tidak membenarkan sebarang jaminan atau mengenakan jaminan sehingga RM50,000 untuk ketiga-tiga pertuduhan berserta syarat tambahan. Peguam, Fahmy Sulaiman yang mewakili tertuduh merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan pendapatan anak guamnya hanya RM1,400 sebulan dan perlu menanggung isteri serta enam orang anak, selain menghidap penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi. Norma kemudian membenarkan Jaafar diikat jamin sebanyak RM20,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai atau jaminan ditarik semua serta-merta. Jaafar kemudian membayar jaminan tersebut. Mahkamah menetapkan 4 November depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.