Ketua pembangkang Venezuela desak pilihan raya diadakan segera
CARACAS - VENEZUELA. Ketua prmbangkang Venezuela, Juan Guaido mendakwa rakyat negara itu hidup di bawah kepimpinan diktator.
Guaido yang mengisytiharkan dirinya sebagai presiden interim minggu lalu dan mendapat sokongan lebih 20 negara termasuk Amerika Syarikat (AS) mencabar Presiden Nicolas Maduro untuk meletak jawatan.
Guaido turut mendesak pilihan raya diadakan segera di samping mendakwa perlembagaan Venezuela membenarkan beliau sebagai Ketua 'National Assembly', untuk mengambil alih kuasa sekiranya presiden dianggap tidak sah.
"Tugas saya adalah menuntut agar pilihan raya telus diadakan kerana berlaku penyalahgunaan kuasa dan rakyat hidup di bawah kepimpinan diktator.
"Di Venezuela, rakyat harus memilih sama ada mahu menerima dominasi dan penindasan rejim Maduro atau memilih kebebasan dan demokrasi," kata Guaido.
Protes semakin memuncak sejak Maduro memulakan penggal kedua sebagai Presiden Venezuela awal bulan ini, malah terdapat laporan kematian akibat keganasan tentera sepanjang bantahan berlangsung.
Sementara itu, jutaan rakyat negara itu terus dihimpit krisis ekonomi yang menyaksikan kekurangan bekalan barangan keperluan termasuk makanan dan ubat-ubatan.
Namun, Presiden Maduro yang masih mendapat sokongan setia pihak tentera dan beberapa negara termasuk Rusia mengecam campur tangan luar berhubung kemelut politik Venezuela.- BBC
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!