Cavani teruja sertai Manchester United
EDINSON Cavani menyifatkan satu penghormatan kepadanya apabila dapat menyarung jersi kelab gergasi Inggeris, Manchester United dalam mengharungi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Bekas peledak Paris Saint Germain (PSG) berusia 33 tahun itu berkata, beliau cukup gembira apabila dapat menjadi sebahagian daripada keluarga besar Manchester United yang juga antara kelab terhebat dunia.
“Sejujurnya saya telah bekerja keras semasa percutian untuk mengembalikan semula prestasi ke tahap sebenarnya, dan kini saya begitu teruja serta bersemangat untuk bersaing bersama kelab yang mempunyai sejarah luar biasa ini.
“Saya pernah bermain di hadapan ribuan penyokong yang paling bersemangat sepanjang karier dan saya tahu perkara sama akan berlaku di Manchester.
“Saya tidak sabar untuk merasai suasana Old Trafford apabila penyokong-penyokong Manchester United mula dibenarkan kembali ke stadium,” katanya.
Pemain kelahiran Uruguay itu sebelum ini dilaporkan menjadi tumpuan beberapa kelab seperti Atletico Madrid, Leeds United dan Benfica.
Namun The Red Devils kendalian Ole Gunnar Solskjaer yang akhirnya berjaya merekrut pemain yang meledak 138 gol dalam 200 penampilan bersama La Parisiens sejak 2013.
Di Old Trafford, Cavani dijangka menerima lebih dari 200,000 pound seminggu selain boleh diturunkan pada aksi menentang kelab lamanya pada saingan Liga Juara-Juara yang dijadualkan bermula hujung bulan ini.
Pada masa sama Cavani berkata, dia bertekad untuk mencipta impak tersendiri sepanjang tempoh bersama kelab berkenaan.
“Saya tidak sabar untuk terus menulis kisah kecil saya di dalam buku bola sepak dan saya tahu sebab itulah fokus saya harus tetap sama seperti biasa -bekerja, bekerja, bekerja.
“Saya telah berbual dengan pengurus kelab dan keazamannya membarakan keinginan saya untuk segera menyarung jersi cantik kelab ini,” katanya.
Cavani dijangka membuat penampilan pertama apabila The Red Devils berkunjung ke St James Park menentang Newcastle United pada perlawanan liga 17 Oktober depan.
Sementara itu, Solskjaer menyifatkan pengalaman Cavani akan membantu kelab berkenaan mencipta lebih banyak kejayaan pada saingan domestik dan Eropah.
“Cavani adalah seorang profesional terbaik yang berpengalaman yang selalu memberikan segalanya untuk kelabnya.
“Rekod jaringannya untuk kelab dan negara sangat luar biasa dan kami amat gembira dapat menandatangani pemain berkaliber sepertinya.
“Cavani akan membawa tenaga, kekuatan, kepemimpinan dan mentaliti hebat tetapi yang paling penting, dia akan mencipta lebih banyak gol untuk untuk Manchester United,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!