Alamanda tawar pelbagai hadiah menarik menerusi kempen Jom Masyukk
KUALA LUMPUR - Pusat Beli-Belah Alamanda (Alamanda), Putrajaya menawarkan pelbagai hadiah menarik termasuk jongkong emas, rantai emas dan gelang emas serta baucar membeli belah bernilai antara RM1,000 hingga RM5,000 menerusi kempen Jom Masyukk sehingga 29 Oktober ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd, Andrew Brien berkata, ganjaran hebat melalui kempen Jom Masyukk tersebut ditawarkan kepada para pengunjung Alamanda Putrajaya.
"Mulai sekarang hingga 29 Oktober ini, para pembeli yang berkunjung ke Alamanda bakal menerima ganjaran hebat melalui kempen Jom Masyukk.
"Oktober ini adalah bulan di mana para pembeli di Alamanda berpeluang memenangi pelbagai hadiah ditawarkan," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, keseluruhannya terdapat 53 hadiah hebat bakal dimenangi oleh pelanggan.
"Antaranya, hadiah utama terdiri daripada jongkong emas seberat 200 gram (g), rantai emas seberat 35g (hadiah kedua) dan gelang emas seberat 25g untuk hadiah ketiga.
"Manakala hadiah keempat berupa 20 keping baucar beli-belah di Alamanda bernilai RM5,000 setiap satu. Bagi hadiah kelima pula, Alamanda menawarkan 30 unit baucar beli-belah bernilai RM1,000 untuk setiap satu," katanya.
Katanya, untuk menyertai kempen Jom Masyukk, para pelanggan hanya perlu berbelanja dengan jumlah minimum RM300 ketika mereka berbelanja di Alamanda.
"Ia mestilah tidak lebih daripada tiga resit dari mana-mana kedai terpilih dan membawanya ke kaunter pertanyaan pada hari yang sama untuk mengesahkan penerimaan resit tersebut.
"Seterusnya, setiap pembeli akan diberi borang penyertaan Jom Masyukk. Pada hari bekerja (Isnin hingga Jumaat), pembeli akan menerima dua borang penyertaan," katanya.
Menurutnya, pemilihan pemenang bertuah akan diadakan pada 28 November depan dan majlis penyampaian hadiah pula berlangsung pada 3 Disember 2020.
"Di samping itu, para pembeli boleh mendapatkan pelekat Jom Masyukk percuma untuk dilekatkan pada cermin kenderaan mereka dan berpeluang memenangi baucar Dunkin’ Donut.
"Para pengunjung boleh mendapatkan pelekat tersebut di kaunter pertanyaan Alamanda pada hari bekerja, antara jam 12 hingga 2 petang," katanya.
Jelasnya, untuk suku akhir tahun ini, lebih banyak promosi menarik akan dibawa kepada pengunjung Alamanda dengan menawarkan lebih banyak ganjaran kepada para pembeli.
"Bagi menjamin operasi perniagaan tanpa gangguan sambil menjaga kesejahteraan para pengunjung serta kakitangan, pihak Alamanda telah mengambil langkah pencegahan seperti menempatkan cecair pencuci tangan di lokasi yang strategik dan mudah akses.
"Selain itu, kami turut melakukan pemeriksaan suhu badan setiap hari ke atas semua pengunjung dan pekerja di pelbagai lokasi dalam pusat membeli-belah, meningkatkan kekerapan pembersihan di setiap sudut pusat membeli-belah dan mempraktikkan penjarakan sosial
sejauh dua meter dalam usaha memastikan persekitaran bersih dan selamat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!