Bayi usia setahun antara korban Covid-19
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Seorang bayi perempuan berusia setahun antara empat yang terkorban akibat pandemik koronavirus (Covid-19) di Malaysia.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bayi tersebut yang merupakan kes ke-12,432 dibawa untuk mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Semporna pada 1 Oktober.
"Keadaan kesihatan kes (mangsa) didapati merosot dan memerlukan bantuan pernafasan," katanya dalam siaran langsung yang dipancarkan dari kediamannya di sini hari ini.
Menurut Dr Noor Hisham, saringan Covid-19 terhadap bayi berkenaan semalam didapati positif.
"Bayi tersebut disahkan meninggal dunia semalam jam 4.25 petang," katanya.
Kes bayi berkenaan direkodkan sebagai kematian Covid-19 ke-140.
Terdahulu beliau berkata, KKM merekodkan kematian ke-138 iaitu melibatkan kes ke 11,154.
"Pesakit merupakan lelaki berusia 60 tahun yang didapati positif pada 26 September," katanya.
Keadaan warga emas itu didapati merosot dan disahkan meninggal dunia pada 4 Oktober pada jam 6.50.
Dr Noor Hisham berkata, kes kematian ke-139 juga melibatkan lelaki berusia 60 tahun.
"Kes mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Semporna pada 1 September," katanya.
Menurutnya, saringan Covid-19 didapati kes positif pada 30 September 2020.
"Dia disahkan meninggal dunia pada 4 Oktober pada jam 5.05 pagi," katanya.
Dalam pada itu, kes kematian ke-141 iaitu kes ke-13, 067 merupakan lelaki berumur 85 tahun.
"Kes mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan penyakit kesihatan mental," katanya.
Menurutnya, pesakit ditemui tidak sedar diri pada 5 Oktober jam 7 pagi dan terus dibawa terus ke Hospital Pulau Pinang.
"Pesakit didapati tidak bernafas di Hospital Pulau Pinang dan disahkan meninggal dunia 7.50 pagi pada hari sama.
"Saringan Covid-19 dikesan positif," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: 691 kes baharu Covid-19, 4 kematian dicatat hari ini
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!