Dua tandas di Setiu paling bersih

Tandas Awam Sungai Tarom turut menyediakan ruang tukar lampin bayi yang kemas dan bersih kepada pengunjung.
Tandas Awam Sungai Tarom turut menyediakan ruang tukar lampin bayi yang kemas dan bersih kepada pengunjung.
A
A
A

SETIU - Daerah Setiu mengharumkan nama Terengganu apabila memenangi dua kategori Pengiktirafan Tandas Awam Bersih 2019 sempena Sambutan Hari Tandas Sedunia 2019.

Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu (MDS), Mohd Iskandar Muhammad Aziz berkata, Tandas Awam Sungai Tarom yang terletak di belakang Medan Selera Sungai Tarom, dekat Bandar Permaisuri di sini, memenangi tempat pertama kategori Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Manakala Tandas Awam Caltex Sungai Tong pula memenangi kategori stesen minyak.

Mohd Anuar (dua, kiri) bersama kakitangannya di hadapan tandas awam di stesen minyaknya di Sungai Tong.
Mohd Anuar (dua, kiri) bersama kakitangannya di hadapan tandas awam di stesen minyaknya di Sungai Tong.

"Saya mengucapkan tahniah kepada Bahagian Kesihatan Persekitaran MDS yang berusaha keras untuk memastikan kemenangan khususnya bagi Tandas Awam Sungai Tarom.

“Ia amat membanggakan kami sekali gus mengharumkan nama negeri ini selaras dalam usaha kerajaan negeri untuk menarik lebih ramai pelancong,” katanya.

Beliau berkata, terdapat 21 tandas awam di bawah seliaan MDS dan pihaknya akan berusaha menjadikan tandas awam di daerah ini mendapat pengiktirafan sama pada masa akan datang.

Menurutnya, Tandas Awam Sungai Tarom juga asalnya adalah tandas biasa dan kecil sebelum dinaik taraf pada 2017 dengan kos RM135,000 melalui peruntukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Artikel Berkaitan:

"Tandas awam yang baru itu dibina dengan lebih menarik iaitu dengan rekabentuk ala tradisional di bahagian luar bangunan manakala moden di dalamnya.

Mohd Iskandar bersama Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran MDS, Jaffri Mamat dan Nurul Asmera Zamli menunjukkan hadiah yang dimenangi MDS.
Mohd Iskandar bersama Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran MDS, Jaffri Mamat dan Nurul Asmera Zamli menunjukkan hadiah yang dimenangi MDS.

"Setiap tandas lelaki dan wanita mempunyai empat ruang tandas selain mempunyai kerusi, kipas dan satu ruang khas untuk orang kelainan upaya (OKU) serta bilik tukar lampin bayi," katanya.

Anggap tandas lebih daripada rumah sendiri

Sementara itu, operator (penjaga) Tandas Awam Sungai Tarom, Zariani Tibrani, 35, tidak sangka tandas yang dijaganya itu dinobatkan sebagai juara Tandas Awam Bersih Peringkat

Kebangsaan 2019 kategori Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Saya diberi tanggungjawab menjaga tandas ini sejak September lalu. Saya dah anggap tandas ini lebih daripada rumah saya sendiri, sebab itu sekiranya tidak menyertai pertandingan sekalipun, saya akan pastikan tandas ini sentiasa bersih,” katanya yang bertugas menjaga tandas itu bermula jam 8 pagi hingga 5.30 petang.

Zariani membersihkan Tandas Awam Sungai Tarom empat kali sehari.
Zariani membersihkan Tandas Awam Sungai Tarom empat kali sehari.

Zariani berkata, dia membersihkan tandas tersebut empat kali setiap hari iaitu pada jam 8 pagi diikuti jam 2 dan 4.30 pertang.

Katanya, walaupun pulang ke rumah sekitar jam 6 petang, dia akan datang semula ke tandas tersebut jam 10.30 malam untuk membersihkannya.

“Bayaran yang dikenakan untuk memasuki tandas ini ialah 50 sen. Tapi kadang-kadang ada pelanggan yang tidak mengambil baki wang RM5 atau RM10 kerana mereka kata berpuas hati dengan kebersihan tandas ini,” katanya.

Tandas Awam Sungai Tarom yang dinobatkan juara Tandas Awam Bersih Peringkat Kebangsaan 2019 kategori Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Tandas Awam Sungai Tarom yang dinobatkan juara Tandas Awam Bersih Peringkat Kebangsaan 2019 kategori Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Zariani yang menetap di Bandar Permaisuri berkata, dia bukan sahaja menekankan aspek penjagaan dalaman tandas, tetapi juga kawasan luar termasuk landskap.

Katanya, selain pokok bunga yang dibekalkan MDS, dia turut membawa pokok bunga dan pokok cili sendiri sebagai hiasan manakala di bahagian dalam diletakkan pokok pandan untuk menghasilkan bau wangi di samping pewangi biasa.

Konsep tandas dalam taman

Bagi Pengurus Caltex Sungai Tong, Mohd Anuar Hamzah pula, dia menampilkan konsep tandas dalam taman dan pelancongan bagi memastikan tandas di stesen minyaknya sentiasa bersih.

Zariani turut membawa pokok sendiri untuk menghiasi Tandas Awam Sungai Tarom.
Zariani turut membawa pokok sendiri untuk menghiasi Tandas Awam Sungai Tarom.

"Dengan konsep ini, kami mahu mewujudkan satu suasana tandas dalam taman yang penuh keselesaan dan nyaman serta membawa elemen pelancongan selari dengan negeri Terengganu yang mempunyai pelbagai tempat pelancongan menarik.

"Selain itu, kami juga mahu meningkatkan tahap kesedaran masyarakat terhadap kebersihan tandas,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!