LENGGONG - Mayat lelaki yang disyaki terjun dari jambatan Kampung Bukit Sapi di sini, ditemukan terapung di tebing Sungai Perak hari ini. Mangsa, Nor Solihin Mohamad Redzuan, 24, ditemui dalam jarak kira-kira satu kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang pada jam 3.51petang. Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, mayat mangsa dijumpai oleh orang awam di tebing sungai kawasan air berpusar. “Mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Gerik untuk bedah siasat dan operasi mencari dan menyelamat yang dimulakan pada jam 9.30 pagi telah ditamatkan,” katanya. Terdahulu, seramai 2 pegawai dan 40 anggota daripada polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Rela serta 20 orang awam menyertai operasi tersebut. Operasi itu digerakkan selepas polis menerima laporan kehilangan mangsa pada jam 8.20 malam semalam selepas motosikalnya dijumpai di jambatan tersebut. ARTIKEL BERKAITAN: Pasukan penyelamat cari lelaki terjun sungai