Kenapa susahkan pelajar?
AWANG tak faham mengapa hal yang mudah dijadikan susah. Perkara yang kecil jadi masalah besar. Macam kes pendaftaran pelajar ke institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta baru-baru ini. Ia patut jadi hal pentadbiran yang mudah, tapi akhirnya membebankan pelajar dan ibu bapa.
Seramai 1.14 juta pelajar yang sepatutnya mendaftar tiba-tiba diberitahu ada penangguhan. Banyak yang sudah bergerak ke destinasi masing-masing. Ibu bapa dan keluarga bersusah payah menghantar mereka ke pusat pengajian tinggi. Keadaan jadi kecoh. Apa lagi, dalam media sosial teruklah Menteri Pengajian Tinggi kena kritik.
Semua orang faham pasal keadaan wabak Covid-19 yang semakin serius di negara kita. Pelajar dan ibu bapa tentu faham kalau penangguhan pendaftaran itu terpaksa dibuat. Tapi biarlah dengan makluman yang betul. Bukan mendadak apabila puluhan ribu pelajar dan ibu bapa sudah keluar rumah.
Kesian pelajar yang tak berduit untuk pulang. Dengarnya ada yang tersadai tak tahu apa nak buat. Mujurlah ada yang membantu. Banyak insan mulia yang hulur derma, buat tabung atau sedia perkhidmatan pengangkutan untuk pulang. Macam kes pendakwah bebas Ebit Lew yang tanggung bayaran tambang bas untuk pelajar di UPSI.
Patutnya kementerian dan IPT terbabit bagi pujian pada usaha orang yang mahu menolong akibat kesilapan besar mereka.
Kesian Menteri Agama
Awang dah duga kesan daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah. Angka jangkitan wabak Covid-19 naik mendadak.
Dalam kes terbaharu, Menteri Agama, Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri disahkan positif.
Beliau pulang dari Sabah pada 24 September. Beliau aktif ke sana ke mari sekembalinya dari Sabah, termasuk pergi ke Pantai Timur, masuk ke universiti, berada di masjid dan surau dan menghadiri mesyuarat khas Kabinet.
Sekali lagi Awang nasihatkan semua yang pergi ke Sabah supaya mematuhi SOP yang ditetapkan, tak kira siapa, termasuk Perdana Menteri dan menteri.
PRN Sabah nampaknya akan memberi kesan besar pada penularan wabak ini. Oleh yang demikian, kita harap semua yang pergi ke Sabah utamakan kepentingan awam lebih dahulu daripada kepentingan diri.
Pada hari Isnin lalu, negara kita cipta rekod baharu dengan jumlah jangkitan harian paling tinggi setakat ini, iaitu 432 kes. Semalam ia telah naik jadi 691 kes. Hal ini tentulah membimbangkan walaupun terkawal.
Awang faham Tuk Seri Zul tak tahu duduk diam. Beliau sentiasa aktif. Tapi oleh sebab beliau berada di Sabah, sepatutnya beliau kawal diri sebagaimana yang ditetapkan bagi orang lain juga. Tidak ada peraturan yang berbeza bagi menteri atau rakyat.
Kita doakan beliau segera sembuh. Pada waktu sama, kita harap menteri yang lain ambil iktibar daripada kejadian ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!