Peguam cari bakal isteri ‘tak ketagih media sosial’
NEW DELHI - Setiap lelaki pasti mempunyai kriteria tersendiri dalam mencari jodoh.
Begitu juga dengan seorang peguam berusia 37 tahun di Bengal Barat, India yang melakukan inisiatif dengan mencari bakal isteri melalui ruang iklan dalam akhbar.
Namun, tindakannya menetapkan kriteria penting ‘tidak ketagih dengan media sosial’ telah menjadi tular di Twitter semalam.
Menerusi iklan tersebut, lelaki dari Kamarpukur itu dikatakan tidak hanya mencari bakal isteri yang berkulit cerah, cantik, tinggi dan ramping.
Pegawai Perkhidmatan Pentadbiran India (IAS), Nitin Sangwan turut berkongsi tangkap layar iklan tersebut dengan kapsyen berbaur sarkastik: “Sila ambil perhatian, calon pengantin lelaki/wanita. Kriteria mencari jodoh kini sudah berubah mengikut peredaran zaman”.
Ia kemudiannya menerima pelbagai reaksi pengguna di Twitter.
Kebanyakan pengguna laman blog mikro itu berpendapat, permintaan lelaki berkenaan ketika era zaman digital sebagai tidak masuk akal.
“Bechara kunwara hi marega (Dia akan mati sebagai lelaki bujang),” respons seorang pengguna Twitter, @Priyankadixit01 terhadap ciri bakal isteri idamannya.
Bagaimanapun, ada segelintir pengguna media sosial yang mendoakan agar peguam berkenaan dapat menemui bakal isteri idamannya walaupun kriteria ditetapkan tidak realistik.
“Dia mahu bakal isteri tinggi, berkulit cerah, ramping dan cantik serta berharap wanita itu tidak mempunyai akaun Instagram!
“Semoga berjaya,” sindir seorang lagi pengguna Twitter, @sumanthbharatha. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!