PKBM, MSN buru 15 bakat muda

Fatehah Mustapa
Fatehah Mustapa
A
A
A

PERSEKUTUAN Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) menyasarkan seramai 15 bakat muda untuk diserapkan dalam Program Pelapis Berbasikal Wanita bermula 2021.

Menerusi program pencarian bakat di bawah Program Pelapis Kebangsaan, usaha mencungkil bakat baharu berusia 13 hingga 15 tahun itu dibahagikan kepada dua fasa iaitu ujian padang yang akan dijalankan di lima zon berbeza di seluruh negara serta ujian spesifik di Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan.

Sebanyak 100 peserta terbaik daripada ujian padang yang bermula dengan Zon Tengah pada 24-25 Oktober dan diikuti Zon Timur (30 Oktober hingga 1 November); Zon Selatan (7 hingga 8 November); Zon Utara (14 hingga15 November) serta Sabah dan Sarawak pada 20 hingga 21 November akan merebut 15 slot yang bakal ditentukan berdasarkan ujian spesifik pada 22 November.

Timbalan Presiden PKBM Yunus Ibrahim berkata usaha itu dibuat memandangkan skuad berbasikal negara masih ketandusan pelumba wanita untuk diketengahkan dalam saingan peringkat antarabangsa.

“Kekosongan ditinggalkan oleh Fatehah Mustapa (bekas atlet berbasikal negara) yang mengumumkan persaraan beliau perlu diisi dengan segera,” katanya pada sidang media program berkenaan di MSN Bukit Jalil di sini, hari ini.

“Program pencarian bakat khusus ini diharap dapat mengisi kekosongan itu. PKBM dan MSN mempunyai misi cukup besar iaitu, untuk membolehkan kelompok pelumba muda ini dapat bersaing di kejohanan berbasikal remaja di peringkat Asia dan Dunia menjelang 2024,” katanya.

Program Pelapis Berbasikal Wanita yang bermula pada Januari depan akan menyaksikan gandingan ketua jurulatih skuad pelapis negara Sood Husain dan Fatehah, yang dipilih sebagai jurulatih membimbing pelumba dalam program berkenaan.

Sementara itu, Fatehah yang memulakan tugasnya sebagai jurulatih setelah dilantik bermula 1 Oktober lepas, teruja dalam melaksanakan tanggungjawab baharunya itu.

Artikel Berkaitan:

“Saya pernah melaluinya dan tidak mustahil untuk orang lain juga buat sampai lebih berjaya. Saya dan cikgu (Sood) akan berusaha keras dan bekerjasama, untuk melatih bakat-bakat muda itu untuk capai sasaran yang diletakkan,” kata bekas juara Asia acara pecut dan keirin itu.

Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Atlet MSN Jefri Ngadirin berkata, 15 bakat muda yang terpilih itu bakal ditempatkan di MSN sepenuh masa dan akan menjalani rutin latihan sama seperti barisan pelapis kebangsaan dan atlet senior.

“Mereka akan bersekolah di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dan juga akan diberi bantuan dari segi peralatan seperti basikal. Tahun depan mereka akan mula menyertai kejohanan tempatan, sebelum dihantar ke kejohanan luar negara,” kata beliau.

Pelumba berbasikal wanita negara yang berada dalam Program Podium ketika ini ialah Anis Amira Rosidi, Ju Pha Som Net dan Nur Aisyah Mohamad Zuber manakala Nor Aisyah Munirah Chek Ramli, Nurul Aliana Azizan, Yong Ann Yii dan Nyo Ci Hui dalam Program Pelapis Kebangsaan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!