Demi maruah The Fighters

Felda United antara kelab yang mewarnai saingan Liga-M musim ini. -Foto: Felda United FC
Felda United antara kelab yang mewarnai saingan Liga-M musim ini. -Foto: Felda United FC
A
A
A

“SEBAGAI ahli sukan profesional, kami dibayar untuk memberikan aksi terbaik dan menghormati kontrak yang telah ditandatangani sehingga hujung musim.”

Itu jaminan pengendali Felda United, Mohd Nidzam Jamil mewakili anak-anak buahnya selepas pengurusan tertinggi Felda mengumumkan penyertaan skuad The Fighters pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini adalah yang terakhir.

Sambil menganggap situasi yang dihadapi mereka adalah lumrah dalam dunia bola sepak, namun beliau dan barisan pemainnya tetap mampu menghela nafas lega kerana mengetahui perkhabaran itu lebih awal.

“Kami akui sedih tapi saya dan pemain-pemain bukan pembuat dasar. Sebaliknya kami sebagai jurulatih dan pemain profesional perlu melihat dari sudut positif situasi yang berlaku ini adalah asam garam dunia bola sepak.

“Jadi kami melihat perkara ini sebagai cabaran positif untuk maju ke depan dengan memberikan aksi terbaik demi passion terhadap bola sepak dan paling penting demi maruah Felda United.

“Sebelum ini, kami pernah beraksi selama tiga bulan tanpa gaji dibayar tetapi pasukan masih mampu memberikan aksi terbaik kerana kami profesional and our passion to the game.

“Jadi apabila kami berdepan masalah seperti ini, komitmen kami tetap sama dan tidak berubah kerana kami bertekad untuk keluar dengan bermaruah,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Selepas mengharungi 10 perlawanan, Felda United berada di tangga ke-11 CIMB Liga Super dengan mengumpul tujuh mata hasil satu kemenangan, empat seri dan empat kekalahan.

Artikel Berkaitan:

Sedar peluang menempatkan diri dalam kelompok atasan sudah tertutup, The Fighters tetap memburu kedudukan di tangga ke-10 menjelang aksi terakhir menentang Selangor di Stadium UiTM Shah Alam Sabtu ini.

“Selangor yang menjadi lawan Felda United dalam aksi terakhir liga musim ini adalah pentas terbaik untuk pemain-pemain bangkit dengan menunjukkan kemampuan mereka.

“Pihak pengurusan kelab juga telah memberi jaminan akan menyelesaikan segala isu berbangkit sebelum kontrak kami berakhir, jadi pada saya dan para pemain, it fair enough.

“Mereka sudah memaklumkan perkara ini lebih awal, jadi tiada isu untuk sedih yang melampau-lampau. Seperti saya kata tadi, kami bukan pembuat dasar tetapi kami ditugaskan memberi aksi terbaik,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!