BAM tiada kompromi soal Covid-19

Kenny Goh
Kenny Goh
A
A
A

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) tidak berkompromi dalam memastikan keselamatan dan kesihatan para pemain, jurulatih serta pegawainya sentiasa terpelihara susulan peningkatan kes pandemik Covid-19 yang melanda negara pada ketika ini.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, pihaknya sentiasa mengambil pendekatan proaktif bagi memastikan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berada pada tahap tertinggi.

“Selain sentiasa mengingatkan pemain, jurulatih dan pegawai BAM betapa pentingnya pematuhan terhadap SOP, mereka juga diingatkan untuk mematuhi peraturan tambahan yang ditetapkan oleh pihak Akademi Badminton Malaysia (ABM).

“Pada ketika ini juga mereka diingatkan untuk tidak keluar dari kawasan akademi tanpa kebenaran pegawai bertanggungjawab bagi mengelak risiko jangkitan Covid-19,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Kelmarin, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menasihati ahli-ahli gabungannya supaya menangguhkan dahulu sebarang aktiviti persatuan masing-masing berikutan peningkatan kes pandemik Covid-19 di negara.

Menurut Mohamad Norza, penangguhan bersifat sementara itu bagi membolehkan usaha memutuskan rantaian dan penularan Covid-19 ini dilakukan dengan lebih berkesan seterusnya dapat memastikan keselamatan dan kesihatan atlet serta pegawai berada dalam keadaan terpelihara.

Pada masa sama, Kenny memaklumkan badan induk badminton negara itu juga telah mengarahkan setiap ahli gabungannya di peringkat negeri agar sentiasa berwaspada dengan krisis pandemik berkenaan.

“Kami telah menghantar surat kepada semua persatuan badminton negeri supaya tidak membenarkan sebarang penganjuran kejohanan sehingga 30 November depan.

Artikel Berkaitan:

“Kami berharap dengan tindakan proaktif ini akan dapat membantu pihak kerajaan dalam usaha berterusan memutuskan rantaian pandemik Covid-19 ini,” jelasnya.

Mengulas mengenai penganjuran saingan simulasi yang dirancang sebelum ini, Kenny berkata, kejohanan dalaman itu akan diteruskan kerana hanya melibatkan penyertaan dalam kalangan pemain di ABM.

“Ia adalah kejohanan dalaman yang mana tidak melibatkan penyertaan pemain luar. Namun, kami sentiasa memantau perkembangan semasa Covid-19 sebelum memutuskan sebarang penganjuran kejohanan,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!