Gangguan air di 46 kawasan di Selangor pulih
KUALA LUMPUR - Sebanyak 46 dari 274 kawasan telah menerima bekalan air sepenuhnya dengan peratusan pemulihan pada tahap 17 peratus sehingga 6 pagi ini.
Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elena Basri berkata, baki 228 kawasan masih lagi dalam proses pemulihan.
“Kuala Langat mencatat pemulihan sebanyak 55 peratus manakala Petaling dengan 37 peratus, namun Hulu Langat dan Sepang/Putrajaya masih belum dapat dipulihkan.
“Pengguna dinasihat supaya tidak menyimpan dan menggunakan air berlebihan bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual pelan pemulihan Air Selangor," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Air Selangor sedang giat berusaha menstabilkan sistem agihan bagi memulihkan kawasan yang terjejas.
Sejumlah 309,687 akaun pengguna di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang/Putrajaya mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual sejak Ahad lepas apabila Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas akibat pencemaran sumber air mentah.
Pengguna di kawasan yang terjejas disaran merujuk saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com, untuk mendapatkan maklumat lanjut. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!