6 penjara catat kes aktif Covid-19, Penjara Alor Setar tertinggi

Kelihatan petugas KKM sedang bersiap sedia untuk melakukan SOP Covid-19 di Penjara Alor Setar, Kedah. - Foto sumber internet
Kelihatan petugas KKM sedang bersiap sedia untuk melakukan SOP Covid-19 di Penjara Alor Setar, Kedah. - Foto sumber internet
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Penjara mencatatkan peningkatan kes aktif pandemik koronavirus (Covid-19) berjumlah 1,126 kes dalam kalangan banduan dan kakitangan di seluruh negara sehingga semalam.

Sehubungan itu, Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar berkata, pihaknya mengambil serius perkara tersebut apabila melibatkan jumlah besar dalam kalangan banduan dalam kawasan larangan penjara dan kawasan kawalan ketat.

Menurutnya, penularan dalam kalangan banduan itu bermula di Penjara Tawau, Sabah apabila seorang banduan yang baru diterima dari Lahad Datu telah disahkan positif Covid-19 pada 2 September lalu.

"Kluster seterusnya pula dikesan di Penjara Alor Setar pada 29 September lalu.

"Pada ketika ini, jumlah aktif Covid-19 dalam kalangan banduan dan kakitangan penjara seluruh negara bertambah sebanyak 453 kes kepada 1,126 kes berbanding 673 kes semalam, 6 Oktober," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Dalam kenyataan sama, dimaklumkan pecahan kes aktif Covid-19 di enam penjara dengan Penjara Alor Setar sebanyak 950 kes, Tawau (96), Pulau Pinang (tujuh), Pusat Koreksional Kamunting (lapan), Pokok Sena (64) dan Wanita Kajang (satu).

Berikutan itu, Zulkifli berkata, Jabatan Penjara mengambil segala langkah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk merawat, kuarantin dan mencegah penularan wabak itu dalam aspek penugasan kakitangan serta penjagaan banduan di seluruh negara.

Beliau berkata lagi, bagi mengurangkan tahap kebolehjangkitan Covid-19 dalam kalangan banduan dan mengurangkan kesesakan, Jabatan Penjara juga mengambil langkah tambahan dan secara drastik.

Artikel Berkaitan:

"Pesalah kes dadah mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya dikeluarkan daripada penjara dan ditempatkan di beberapa kem PLKN yang diwartakan sebagai penjara sementara dengan sasaran menampung seramai 2,300 hingga 2,800 orang banduan.

"Pelaksanaan Pembebasan Banduan Secara Lesen (PBSL) ke atas sabitan hukuman bawah setahun yang baki hukumannya kurang daripada tiga bulan.

"Mengikut statistik Jabatan Penjara (sehingga 5 Oktober lalu), seramai 11,018 banduan yang hukuman kurang dari setahun dan baki hukumannya kurang daripada tiga bulan yang layak untuk dipertimbangkan bagi PBSL," katanya.

Tambah beliau, semua banduan yang dibebaskan melalui PBSL wajib melepasi kriteria pemilihan ketat yang ditetapkan dan disahkan lulus saringan Covid-9 oleh KKM terlebih dahulu.

Oleh yang demikian, Jabatan Penjara menyeru orang awam di luar penjara untuk bertenang kerana penularan Covid-19 dalam kalangan banduan dalam kawasan larangan penjara yang tertutup dan dikawal ketat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!