Dua pemilik resort Pulau Perhentian lindungi PATI didenda

Salah seorang daripada tertuduh (tengah) melakukan urusan bayaran denda di mesin pembayaran di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu hari ini dengan dibantu kakitangan mahkamah bertugas.
Salah seorang daripada tertuduh (tengah) melakukan urusan bayaran denda di mesin pembayaran di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu hari ini dengan dibantu kakitangan mahkamah bertugas.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Dua pemilik resort di Pulau Perhentian, Kuala Besut Besut didenda RM12,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku salah membenarkan imigran haram tinggal di premis masing-masing pada bulan lalu.

Hakim Nooriah Osman menjatuhkan hukuman itu terhadap Lim Yik Tack, 46 dan Lee Pik Yeng, 45 selepas mereka mengaku bersalah pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah secara berasingan.

Yik Tack didakwa sebagai penduduk tempatan membenarkan seorang imigran haram warga Bangladesh berusia 42 tahun yang melanggar syarat pas untuk masuk atau tinggal di sebuah jeti berhampiran Alunan Coral Resort, Pulau Perhentian, Kuala Besut, Besut jam 10.30 pagi pada 2 September lalu.

Pik Yeng pula, didakwa melakukan kesalahan sama dengan membenarkan seorang imigran haram warga Bangladesh berusia 38 tahun berlindung di Ayumni House, Pulau Perhentian, Kuala Besut, Besut kira-kira jam 11.30 pagi pada tarikh sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63(Akta 155) dan boleh di hukum di bawah Seksyen 55E (2) Akta sama yang boleh dihukum denda antara RM5,000 dan RM30,000 atau dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Nooriah memerintahkan kedua-dua tertuduh didenda RM6,000 atau berdepan tiga bulan penjara jika gagal membawa denda tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen Terengganu, Noraznie Alias dan kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!