PRK Batu Sapi: Hadkan tempoh kempen minimum 11 hari

Kenyataan Wan Ahmad di Facebook mengenai cadangan had minimum kempen PRK Batu Sapi selama 11 hari sahaja.
Kenyataan Wan Ahmad di Facebook mengenai cadangan had minimum kempen PRK Batu Sapi selama 11 hari sahaja.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar mengesyorkan agar tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi, Sabah dihadkan kepada tempoh paling minimum iaitu 11 hari bagi mengurangi risiko penularan jangkitan pandemik koronavirus (Covid-19).

Menurut Wan Ahmad, tempoh itu sudah memadai berikutan peningkatan kes Covid-19 terutama di Sabah ketika ini, sekali gus mengelak risiko penularan secara besar-besaran seperti yang berlaku selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.

Sehubungan itu, katanya, SPR disarankan mempertimbang cadangan untuk melaksanakan tempoh kempen paling minimum itu.

"Dalam konteks rakyat berdepan dengan serangan covid-19, walaupun hanya PRK tertumpu kepada satu kawasan Parlimen, tetapi risiko dan bahaya peningkatan penularan adalah sama.

"Rakyat Batu Sapi akan terdedah kepada kemasukan orang-orang dari luar kawasan yang datang berkempen siang dan malam bertemu dengan pengundi Batu Sapi. Keutamaan orang politik hanya untuk menang kerusi.

"Petugas parti yang berkempen dikhuatiri kurang beri perhatian kepada soal-soal lain. Ia terbukti semasa sepanjang tempoh berkempen PRN sebelum ini," katanya menerusi hantaran di Facebooknya semalam.

Semalam, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mengesahkan pihaknya sudah mengemukakan surat pemberitahuan kepada Pengerusi SPR berhubung kematian Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong pada 2 Oktober lalu.

Beliau berkata, surat tersebut selaras dengan Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Vui Keong, 60, dilaporkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu sejak 9 September lalu.

Mendiang yang berasal dari Kota Belud, dipilih sebagai Ahli Parlimen Batu Sapi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan meninggalkan isteri, Datin Dr Lindai Lee serta empat orang anak.

ARTIKEL BERKAITAN: SPR tentukan tindakan status kerusi Parlimen Batu Sapi

YDP Dewan rakyat kemuka surat arah isi kekosongan Parlimen Batu Sapi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!