Pegawai Penyiasat SPRM dituduh pasif dan tidak cekap

Rosmah keluar dari mahkamah selepas prosiding perbicaraan kes rasuah yang dihadapinya berhubung projek solar hibrid di sekolah luar bandar Sarawak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. Foto Bernama
Rosmah keluar dari mahkamah selepas prosiding perbicaraan kes rasuah yang dihadapinya berhubung projek solar hibrid di sekolah luar bandar Sarawak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Seorang Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didakwa oleh pihak pembelaan sebagai pasif dan tidak cekap ketika mengendalikan siasatan terhadap projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk sekolah-sekolah luar bandar di Sarawak.

Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Datin Seri Rosmah Mansor berkata demikian pada sesi pemeriksaan balas terhadap saksi ke-23 pendakwaan, Noornabilah Mohd Aziman di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

"Saya minta maaf untuk mengatakan ini tetapi anda seorang IO (pegawai penyiasat) yang sangat pasif.

"Ini menunjukkan bahawa anda sangat tidak cekap. Anda nampaknya tidak tahu apa-apa. Anda tidak menyumbang apa-apa untuk kes ini," kata Akberdin.

Noornabilah bagaimanapun tidak memberikan reaksi, malah hanya diam selepas dibentak peguam itu ketika sesi pemeriksaan balas.

Mahkamah kembali tegang apabila saksi terus mengelak daripada menjawab soalan Akberdin dengan berulang kali dan mengatakan bahawa dia tidak ingat atau tidak tahu setiap kali ditanyakan mengenai individu lain selain Rosmah yang terlibat dalam kes berkenaan.

Noornabilah terus menyatakan bahawa dia tidak tahu mengenai perkembangan yang melibatkan orang lain kerana dia hanya terlibat dalam siasatan terhadap Rosmah.

Semalam, Akberdin juga mendakwa SPRM melakukan pendakwaan berniat jahat dan mengatakan hanya membuat siasatan untuk menuduh Rosmah walaupun ada individu yang lain telah melakukan kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Akberdin juga semalam hampir hilang sabar ketika Noornabilah terus memintanya untuk mengulangi soalannya.

Pada beberapa ketika, dia terpaksa mengulang pertanyaannya tiga hingga empat kali ketika Noornabilah terus mengatakan "boleh ulang pertanyaan", "saya tak ingat" atau "saya tidak tahu" untuk semua yang dia minta.

Pada awal prosiding hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan mendesak Noornabilah untuk memberi perhatian terhadap pertanyaan Akberdin.

"Anda memintanya mengulangi soalannya berkali-kali semalam.

"Anda bernasib baik dia seorang yang sangat sabar. Tolong dengarkan dengan teliti dan perhatikan apa yang dia minta," kata Zaini sambil mendorong saksi menganggukkan kepalanya sebagai tanda terima kasih.

Sementara itu, Peguam Azrul Zulkifli Stork pula berkata, Noornabilah gagal menjalankan amanah kerana beliau sendiri tidak turun padang dan bertemu saksi.

Noornabilah ketika disoal Azrul mengakui bahawa beliau hanya mengumpulkan dokumen daripada pegawai penyiasat lain sebelum menyediakan pernyataan saksi.

Saksi itu juga bersetuju dengan peguam bahawa perkara itu adalah kebiasaan dalam SPRM dan mengakui bahawa tidak adil bagi peguam bertanyakan mengenai siasatan sedangkan beliau (saksi) sendiri tidak turun padang.

Noornabilah juga berkata, beliau tidak ada membuat pengesahan terhadap nombor siri wang yang didakwa terbabit dalam kes rasuah itu yang diperoleh daripada Bank Negara Malaysia BNM).

Saksi juga mengakui dia tidak membuat semakan kepada pihak polis dan Maybank berhubung kewujudan wang berjumlah RM1.5 juta dan RM5 juta dalam beg hitam dan beg hitam berjalur warna oren dan hanya bedasarkan dari keterangan saksi iaitu Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin.

Noornabilah juga berkata kepada mahkamah bahawa dokumen yang diperoleh pihaknya dalam siasatan adalah mencukupi, bagaimanapun mengakui bahawa beliau tidak perlu memastikan dokumen itu tulen atau sebaliknya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung 20 Oktober depan.

Mahkamah akan memanggil semula saksi kelima iaitu bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid untuk soal balas lanjut berhubung kes terbabit.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!