Selangor rombak portfolio Exco
SHAH ALAM - Kerajaan Selangor hari ini mengumumkan rombakan portfolio barisan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) susulan pelantikan dua Exco baharu pada 17 September lepas.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebanyak lima portfolio baharu diwujudkan sejajar dengan keperluan semasa negeri itu.
"Antaranya melibatkan portfolio Pembudayaan Inovasi, Smart Selangor (nama asal ialah Sains, Teknologi dan Inovasi dan ditambah komponen Smart Selangor yang baru diwujudkan iaitu meliputi pengurusan bencana, pemberdayaan pekerja, perpaduan dan industri halal.
"Sementara itu, dua portfolio sedia ada dijenamakan semula bagi tujuan cakupan lebih meluas iaitu Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kesejahteraan Bandar (nama asal Perumahan dan Kehidupan Bandar) dan Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam (nama asal Kesihatan)," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, selain itu, portfolio baharu untuk dua Exco turut diumumkan.
"Portfolio baharu melibatkan Exco Pembangunan Luar Bandar, Kampung Tradisi, Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan dan Warisan, Borhan Aman Shah dan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.
"Rombakan kecil melibatkan Exco sedia ada antaranya Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar serta Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail; Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau serta Hal Ehwal Orang Asal, Hee Loy Sian dan Exco Pembangunan Sosio-ekonomi, Kebajikan Masyarakat dan Pemberdayaan Pekerja, Ganabatirau Veraman," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!