Tabika Kemas untuk semua golongan termasuk M40
SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) diberi penjelasan bahawa tidak wujud cadangan untuk mewujudkan Tabika Kemas Elit.
Sebaliknya menurut Presiden Cuepacs, Adnan Mat, kemudahan pembelajaran di tabika Kemas sedia ada akan diluaskan untuk semua golongan rakyat termasuk keluarga M40.
"Ketika ini kira-kira 10,900 tabika Kemas di seluruh negara memberi keutamaan anak-anak daripada golongan rakyat yang berpendapatan rendah 40 peratus atau B40.
"Ibu bapa daripada M40 pula terpaksa menghantar anak-anak mereka ke tadika swasta yang sememangnya kita ketahui kadar yurannya tinggi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Cuepacs berterima kasih dan menyambut baik inisiatif itu yang memberi manfaat secara menyeluruh tanpa mengabaikan bantuan kepada mereka yang tidak bernasib baik.
"Kebanyakan yuran di tadika swasta mengenakan bayaran sekitar RM200 sehingga RM350 sebulan dan ia mungkin membebankan ibu bapa yang mempunyai ramai anak.
"Penjelasan mengenai cadangan Tabika Kemas Elit itu diperoleh ketika pertemuan dengan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus hari ini," katanya.
Katanya, walaupun kemudahan tabika Kemas akan dipanjangkan kepada keluarga M40 namun Cuepacs difahamkan peluang untuk anak B40 tidak diusik.
"Ini kerana keutamaan kementerian tetap untuk membantu keluarga yang berpendapatan rendah.
"Bagaimanapun, sebagai kerajaan yang prihatin, inisiatif ini dicadangkan agar dapat menyelesaikan masalah ibu bapa yang sukar untuk mencari tadika untuk anak mereka kerana faktor kos dan banyak tadika swasta ditutup akibat pandemik koronavirus (Covid-19).
"Cuepacs berharap silibus kurikulum untuk semua tabika Kemas perlu sama walaupun tabika tersebut untuk anak-anak daripada keluarga M40 atau B40 sekali pun," katanya.
Adnan berkata, silibus kurikulum di tabika Kemas perlu ditingkatkan dan jika yuran dinaikkan ia tidak terlalu tinggi hingga hampir menyamai yuran tabika swasta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!