Covid-19: Penjara Pulau Pinang masih terkawal
GEORGETOWN - Keadaan di Penjara Reman Pulau Pinang susulan kematian seorang warga emas kerana wabak koronavirus (Covid-19) kelmarin dilaporkan masih terkawal selain ia masih di peringkat permulaan.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, tindakan pantas juga telah diambil oleh semua pihak bagi mengawal perebakan wabak terbabit di kalangan banduan lain dan petugas penjara.
Menurutnya, semua banduan selain kakitangan Jabatan Penjara Pulau Pinang akan menjalani saringan dengan keutamaan diberikan kepada kontak utama.
"Pengalaman yang berlaku di negeri lain akan dijadikan sebagai panduan dalam menangani perebakan wabak ini. Semua pihak berada dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi seberang kemungkinan dalam tempoh 24 jam setiap hari.
"Jabatan Penjara Pulau Pinang telah menulis surat kepada pihak mahkamah untuk menangguhkan kes-kes perbicaraan dan reman sehingga makluman lanjut diterima," katanya dalam satu kenyataan tadi.
Terdahulu, Kon Yeow mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pulau Pinang bagi membincangkan situasi terkini berhubung perkara tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN Banduan meninggal dunia kerana Covid-19
Turut hadir, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan, Pengarah Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, Dr Asmayani Khalib dan Pengarah Jabatan Penjara Pulau Pinang, Roslan Mohamed.
Kon Yeow berkata, rakyat Pulau Pinang diminta bertenang dan bersatu padu untuk berhadapan dengan cabaran penularan Covid-19 yang masih aktif pada waktu ini.
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Noor Hisham Abdullah mengesahkan seorang lelaki berusia 85 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang di sini.
Lelaki warga emas itu turut mempunyai penyakit darah tinggi dan kesihatan mental.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!