Misteri campuran tanah berwarna hijau
IPOH - Kemunculan bahan berwarna hijau yang bercampur dengan tanah di satu kawasan berhampiran Resort D'Lereng, Kampung Ulu Chepor di sini menimbulkan tanda tanya sama ada kawasan tersebut dicemari sisa buangan kimia atau sebaliknya.
Pemilik resort tersebut, Nasaruddin Umar, 53, berkata, kejadian itu hanya disedari selepas kerja-kerja mengorek tanah dilakukan untuk membaiki salur pembetung yang pecah berhampiran resort tersebut sejak dua minggu lalu.
Menurutnya, terdapat bahan berwarna hijau dikesan bersama-sama tanah yang dikorek dibimbangi sejenis bahan kimia serta mencemarkan sungai berhampiran.
"Dua minggu lepas, Sungai Chepor di sini berubah warna menjadi hijau dan keadaan itu turut tular di media sosial. Hasil pemeriksaan yang dilakukan penduduk kampung mendapati punca tersebut dari kawasan ini memandangkan aliran air di sini dari bukit berhampiran.
"Saya sendiri tak pasti jenis bahan apa yang ditanam di sini sama ada berbahaya atau tidak. Jadi keadaan ini sedikit sebanyak mengundang rasa bimbang bukan sahaja kepada orang yang berkunjung ke sini tetapi terhadap penduduk setempat," katanya pada sidang akhbar di Resort D'Lereng di sini hari ini.
Nasaruddin berkata, sejak resort itu dibuka 10 tahun lalu, tiada sebarang masalah berlaku malah kawasan itu sering menjadi tumpuan pelbagai jabatan dan agensi mengadakan kem bina insan serta pelbagai aktiviti.
Namun, ia terbongkar selepas berlaku masalah pada saluran pembetung yang ditanam di kawasan berhampiran dan setelah tanah dikorek bahan berwarna hijau ditemui bercampur dengan tanah.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan empat tahun lalu memang ada sisa buangan yang ditanam di kawasan tersebut namun tidak menghiraukannya setelah dimaklumkan bahawa bahan tersebut tidak berbahaya.
"Kita berharap pihak berkaitan seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengambil tindakan segera mengenalpasti keadaan ini sama ada bahan tersebut membahayakan atau sebaliknya.
"Sesuatu perlu dilakukan supaya kawasan sekitar dan penempatan penduduk tidak terjejas serta sumber air di kawasan itu dapat dipelihara," katanya.
Keadaan itu turut menarik perhatian pihak Sahabat Alam Malaysia (SAM) yang melihat terdapat sesuatu yang mencurigakan berlaku di kawasan tersebut apabila dipasang tali keselamatan polis bertujuan menghalang orang ramai masuk ke kawasan seluas 0.5 hektar itu.
Pegawai Lapangan SAM, Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, disebabkan itu SAM menggesa pihak-pihak berkuasa yang berkenaan melakukan siasatan terperinci terhadap pelupusan bahan buangan yang disyaki sisa industri secara kambus tanah di kawasan yang bukan ditetapkan.
Menurutnya, pelupusan bahan buangan tersebut dikenal pasti setelah pihak SAM mendapat maklumat awam dan dianggarkan telah lebih setahun dilupuskan di kawasan tersebut.
"Sekiranya bahan buangan tersebut adalah sisa industri, pihak-pihak berkuasa yang berkenaan juga diharap mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pihak yang melakukan pelupusan tersebut serta mendedahkan kepada umum sama ada ia bahan berbahaya kepada alam sekitar, buangan terjadual atau hanya sisa sebatian organik.
"Sekiranya bahan buangan tersebut bukan bahan berbahaya kepada alam sekitar atau bukan buangan terjadual mengapa pihak yang menghasilkan sisa buangan tersebut tidak melupuskannya di tapak pelupusan sisa pepejal sedia ada yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya.
Sementara itu, Pengarah JAS Perak, Rosli Zul yang dihubungi pemberita memaklumkan pihaknya akan menghantar pegawai untuk mengambil sampel tanah di kawasan tersebut secepat mungkin.
Menurutnya, sampel tersebut akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa sama ada bahan tersebut berbahaya atau sebaliknya.
Katanya, JAS juga akan mendapatkan maklumat mengenai pemilik tanah terbabit daripada Pejabat Daerah dan Tanah Kinta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!