'Ikut SOP atau pasar malam ditutup'
IPOH - Persatuan Penjaja-Penjaja Kecil Melayu Pasar Malam Bergerak Bahagian Kinta mengingatkan semua peniaga pasar malam di bandar raya Ipoh di sini supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak pasar malam ditutup.
Pengerusinya, Jaafar Uthman berkata, peringatan itu diberikan kerana terdapat segelintir peniaga yang sambil lewa dalam mematuhi SOP ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkaitan operasi pasar malam dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Menurutnya, kebanyakan peniaga dikesan masih gagal memasang pita amaran di gerai khemah jualan masing-masing untuk memastikan penjarakkan fizikal serta laluan masuk sehala kepada pengunjung.
"Kita tak mahu pasar malam ditutup disebabkan ada peniaga yang ambil ringan soal SOP seperti di beberapa tempat lain sekali gus menyebabkan peniaga hilang sumber pendapatan.
"Semua dah rasa bagaimana peritnya apabila tidak dapat meniaga semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini. Takkan kita hendak berhadapan lagi dengan situasi itu?
"Saya harap peniaga faham dan patuh arahan yang ditetapkan," katanya kepada Sinar Harian selepas memberi taklimat kepada peniaga di Pasar Malam Taman Perpaduan di sini semalam.
Jaafar berkata, pihaknya memandang serius isu ingkar SOP berkenaan malah tidak teragak-agak untuk menggugurkan nama peniaga degil.
Jelasnya, kesemua peniaga sudah diberikan surat peringatan supaya mereka mematuhi SOP ditetapkan dan tidak ada alasan untuk mengambil ringan perkara tersebut.
Beliau turut meminta semua peniaga agar menyediakan tong sampah sendiri bagi menjaga kebersihan tapak pasar malam.
Dalam pada itu, Jaafar berkata, pihaknya meminta agensi berkaitan seperti Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Kementerian Kesihatan dan MKN turut memantau perjalanan pasar malam tersebut secara berkala.
Katanya lagi, pihak persatuan akan bersama-sama kerajaan memastikan SOP dipatuhi seterusnya menyekat penularan pandemik koronavirus (Covid-19) di negara ini.
Sementara itu, dalam satu sidang akhbar berasingan, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, sehingga kini belum ada pasar malam di Bandar Raya Ipoh yang ditutup dan peniaga dilihat masih mengikut SOP ditetapkan.
Bagaimanapun, pihaknya akan terus memantau dari masa ke masa supaya pematuhan terhadap SOP dapat dilaksanakan seoptimum yang mungkin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!