Tambah had ketinggian MPKK beri manfaat kepada penduduk
IPOH - Pertambahan had ketinggian bangunan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) daripada empat ke 10 tingkat sebagai usaha yang baik daripada kerajaan negeri.
Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Perak, Tan Kar Hing menyifatkan pertambahan had ketinggian itu bakal memberikan banyak manfaat kepada orang ramai khususnya penduduk di sekitar Kuala Kangsar.
Malah menurut Kar Hing, pertambahan itu bakal membolehkannya untuk melaksanakan pembentangan berhubung isu-isu pelancongan di bangunan berkenaan.
“Had ketinggian bangunan untuk bangunan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) sebelum ini hanya empat tingkat sahaja, tetapi dah lulus untuk 10 tingkat .
“Baru sahaja ia diluluskan pada mesyuarat MMK. Ini antara sebab kita tambah ketinggian itu sebab kita nak bentangkan sektor pelancongan di sin.
“Antaranya kita dapati bilik di Kuala Kangsar tak cukup. Kita mungkin boleh tarik pelaburan baharu untuk bina hotel-hotel baharu di sini (Kuala Kangsar), " katanya pada sidang media, sempena Majlis Pelancaran Eko Pelancongan Daerah Sungai Siput dan Kuala Kangsar di Pulau Raia, Sungai Siput, semalam.
Tambah Kar Hing, antara yang akan dibentangkan adalah mengenai masalah kekurangan bilik di Kuala Kangsar.
Justeru katanya, jika diluluskan mungkin boleh menarik pelaburan baharu untuk mewujudkan hotel-hotel di sini (Kuala Kangsar).
“Kalau ada penginapan lebih banyak, pelancong juga tak perlu ulang alik dari Ipoh kerana kebiasaannya mereka akan singgah dalam tempoh sehari.
Sementara itu, Kar Hing berkata penerbangan sulung dari Ipoh ke Guangzhou bakal bermula pada suku pertama tahun ini.
Malah katanya, penerbangan berkenaan juga akan turut melibatkan perkhidmatan penerbangan ke bandar-bandar besar di Asia Tenggara seperti Bangkok, Kemboja dan sebagainya.
“Setakat ini, kita tidak dapat memberikan kepastian mengenai syarikat penerbangan yang akan terlibat bagi penerbangan sulung berkenaan.
“Bagaimanapun, kita juga sedang mengkaji mengenai penerbangan ke bandar-bandar di sebelah Selatan China,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!