Rundingan lantik PM baharu Lubnan 15 Oktober ini
BEIRUT - Presiden Lubnan, Michel Aoun akan memulakan perundingan di Parlimen untuk menamakan Perdana Menteri baharu pada minggu depan.
"Presiden menetapkan 15 Oktober ini untuk melantik Perdana Menteri baharu bagi menubuhkan kerajaan," ujar pejabatnya menerusi Twitter hari ini.
Langkah itu menandakan cubaan ketiga untuk melantik perdana menteri dalam tempoh kurang setahun selepas siri peletakan jawatan di negara itu yang berdepan krisis ekonomi terburuk.
Terdahulu, bekas Perdana Menteri, Hassan Diab membuat keputusan untuk berundur selepas pentadbirannya berdepan kritikan banyak pihak susulan insiden letupan dahsyat yang meragut lebih 190 nyawa di pelabuhan Beirut pada 4 Ogos lalu.
Penggantinya, Mustapha Adib juga mengambil langkah sama pada 26 September lalu selepas beliau gagal untuk membentuk kerajaan baharu dalam tempoh kurang sebulan bekas Duta Lubnan ke Jerman itu memegang jawatan tersebut.
Sejak insiden letupan di pelabuhan Beirut tersebut yang didakwa berpunca daripada ammonium nitrat, pemerintah Barat telah meningkatkan tekanan terhadap pemimpin Lubnan untuk melaksanakan langkah pembaharuan secara menyeluruh bagi menerima bantuan dana yang diperlukan. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!