Quartararo, Morbidelli mahu gegar Le Mans
PELUMBA Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Fabio Quartararo dan Franco Morbidelli tekad mahu meneruskan prestasi terbaik pada aksi Grand Prix Perancis di Litar Le Mans, minggu ini.
Quartararo yang merekodkan masa terpantas tahun lepas di Litar Le Mans berkata ia adalah antara litar kegemarannya dan beliau menyasarkan untuk meraih kejayaan pada perlumbaan itu sekali gus mengumpul lebih banyak mata di laman sendiri.
“Saya sering mendapat keputusan terbaik di litar ini, saya menamatkan perlumbaan pada kedudukan kelapan tahun lepas dan berharap meneruskan aksi cemerlang di Barcelona tempoh hari,” kata pelumba berusia 21 tahun itu.
Rakan sepasukan, Morbidelli yang mempunyai rekod membanggakan di Litar Le Mans, juga mahu mengulangi kejayaannya selepas kali terakhir meraih kejayaan dalam kelas Moto2 pada tahun 2017.
“Le Mans adalah trek yang hebat dan saya sangat sukakannya. Saya mempunyai rekod terdahulu yang baik di trek ini. Saya dalam keadaan baik dari segi fizikal dan mental, saya dalam keadaan yang hebat untuk perlumbaan nanti,” kata pelumba berusia 26 tahun dari Itali itu.
Quartararo kini berada di kedudukan teratas carta Kejuaraan Dunia MotoGP dengan 108 mata, manakala Morbidelli di kedudukan kelima dengan 77 mata selepas lapan perlumbaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!