Ada sesuatu di Batu Sapi, mampukah BN rampas semula kubu lama
BELUMPUN reda kehangatan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16, Parlimen Batu Sapi (P.185) pula mencuri tumpuan apabila penyandangnya, Liew Vui Keong meninggal dunia pada 2 Oktober lalu akibat jangkitan paru-paru.
Berdasarkan Perlembagaan, apabila berlaku kekosongan satu-satu kawasan ia perlu diisi dalam tempoh 60 hari selepas pemakluman rasmi diumumkan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.
Parlimen ini mempunyai dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Sekong dan Karamunting.
Kedua-dua DUN ini dimenangi Warisan pada pilihan raya negeri.
Parlimen Batu Sapi pada awalnya pernah menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN) sebelum ‘dirampas’ Warisan ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Bagaimanapun melihatkan prestasi BN pada PRN Sabah baru-baru ini yang hanya memenangi 14 kerusi berbanding PRN ke-15 dengan kemenangan 79 kerusi hasrat untuk parti itu merampas kembali P.185 nampaknya berhadapan laluan sukar.
Empat penggal BN memegang tampuk pimpinan di Batu Sapi bukan tempoh yang singkat, namun benteng yang dianggap teguh selama ini kecundang pada PRU14 sebagaimana tumbangnya BN yang 60 tahun memerintah negara.
P.185 Batu Sapi adalah kerusi yang diwujudkan setelah persempadanan semula kawasan Pilihan Raya Umum (PRU) pada tahun 2003 dan seterusnya PRU 2004 hinggalah PRU 2018.
Secara tradisinya kerusi Parlimen ini ditandingi oleh calon Barisan Nasional (BN) sejak ia diwujudkan lagi.
Pada PRU 2004, Datuk Ir Edmund Chong Ket Wah @ Chong Ket Fah yang mewakili Parti Bersatu Sabah (PBS) dengan menggunakan tiket BN telah menang tanpa bertanding.
Kemudian pada PRU 2008, Datuk Ir Edmund Chong Ket Wah @ Chong Ket Fah sekali lagi dicalonkan dan berjaya mengekalkan kerusi P.185 Batu Sapi setelah memperoleh 9,479 undi, menang dengan majoriti 3,708 undi ke atas calon Bebas, Chung Kwong Wing, yang memperoleh 5,771 undi.
Bagaimanapun, Datuk Ir Edmund Chong Ket Wah @ Chong Ket Fah meninggal dunia pada 9 Oktober 2010 akibat kemalangan jalan raya mengakibatkan satu lagi Pilihan Raya Kecil (PRK) dilaksanakan pada 4 November 2010.
Bagi meneruskan legasi mendiang, BN telah memberi kepercayaan kepada balu Datuk Ir Edmund Chong Ket Wah @ Chong Ket Fah, iaitu Datuk Linda Tsen Thau Lin, yang mewakili PBS mengekalkan kerusi pada PRK 2010.
Linda menang dengan memperoleh 9,773 undi dengan majoriti 6,359 dalam pertembungan tiga penjuru.
Lawannya calon PKR, Ansari Abdullah mendapat 3,414 undi manakala calon SAPP, Datuk Yong Teck Lee, memperoleh 2,031 undi.
Dalam pada itu, PRU 2013 iaitu PRU ke-13, Linda terus mengekalkan kerusi Parlimen Batu Sapi milik BN apabila mendapat jumlah undian sebanyak 13,085 undi, dengan majoriti 3,798 undi ke atas calon Pas, Hamza A Abdullah @ Hamzah yang memperoleh 9,287 undi manakala calon STAR, Saiful Bahari Rashada Ahmad, memperoleh 410 undi.
Namun ketika PRU 2018 iaitu PRU ke-14, Linda Tsen kecundang setelah tewas di tangan calon Warisan Datuk Liew Vui Keong yang memperoleh 12,976 manakala beliau mendapat 8,357 undi dengan majoriti 4,619 undi.
Calon PH, Hamza A Abdullah@Hamzah, memperoleh 980 undi sementara calon Pas, Norsah Bongsu, pula hanya mendapat 948 undi.
KEPUTUSAN DUN SEKONG SEMASA PILIHAN RAYA NEGERI SABAH
KEPUTUSAN DUN KARAMUNTING SEMASA PILIHAN RAYA NEGERI SABAH
Percaturan calon PN
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu melaksanakan pula PRK buat Parlimen Batu Sapi kerana PRU-14 yang berlangsung pada 9 Mei 2018, baru berusia dua tahun lima bulan dan Parlimen belum cukup matang lagi, jika dicongak baru memasuki tahun ketiga pada Jun akan datang.
Justeru, bagi menentukan calon di kawasan itu apakah percaturan yang dibuat parti Perikatan Nasional (PN) dalam menjaga keharmonian ahli dalam gabungan.
Adakah PN akan meletakkan calon BN bagi mengembalikan semula tradisi kegemilangan beberapa penggal sebelumnya ataupun meletakkan calon Pas berikutan parti itu turut bersaing di P.185 pada PRU13 dan PRU14.
Situasi sama turut dialami Warisan di mana PKR pernah meletakkan calon bertanding di Parlimen Batu Sapi pada PRU14.
Atau pun mungkin berlaku pertembungan rakan sekutu antara BN dengan Pas, Warisan dengan PKR.
Dalam pada itu, pengundi dominan di Parlimen Batu Sapi adalah Bumiputera Islam (65.1 peratus), diikuti oleh Cina (30 peratus), Bumiputera Bukan Islam (4.1 peratus) dan Lain-lain (0.8 peratus).
Pemilih berdaftar yang mengambil bahagian dalam PRU14 adalah seramai 32,574.
Mengambil iktibar daripada kesan PRN Sabah, kali ini Kementerian Kesihatan (KKM) dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) serta agensi penguatkuasaan lain perlu lebih tegas menguatkuasakan segala SOP bagi mengelak graf kes Covid 19 melonjak selepas pilihan raya.
Tambahan pula, Batu Sapi terletak di Sandakan yang kini berada di tahap zon merah.
Jumlah kes aktif berada paras 52 kes seperti diumumkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) pada 7 Oktober.
Ini menunjukkan kes dijangka akan terus meningkat dari masa ke masa.
Bukan itu sahaja, Daerah Tawau, Lahad Datu, Kota Kinabalu, Kunak dan Semporna telah diisytiharkan zon merah setelah jumlah kes melebih 41 kes.
Perjalanan kempen dan ceramah perlu dipastikan mematuhi penjarakan sosial, wajib memakai pelitup muka atau barangkali kempen hanya boleh dibuat secara dalam talian sahaja.
Mungkin juga kempen dibuat mengikut giliran parti bertanding menggunakan pembesar suara dengan pengundi duduk di rumah masing-masing.
Dengan cara ini tidak perlulah pengundi berbondong-bondong ke dewan atau balai raya untuk mendengar ceramah. Cukup sekadar bertemu calon di alam maya sahaja.
Jika calon mahu agih sumbangan, cukuplah hanya meletakkan beg sumbangan yang siap dicetak dengan gambar calon di pintu pagar sahaja supaya pengundi tahu calon mana yang bermurah hati itu.
Namun, berita yang disiarkan di Sinar Harian semalam (7 Oktober 2020), Pensyarah Kanan Sains Politik, Universiti Teknologi Mara, Mujibu Abd Muis berpendapat SPR wajar mempertimbangkan sama ada mengadakan PRK Parlimen Batu Sapi di Sabah atau menangguhkan dalam masa 60 hari ekoran kes jangkitan Covid-19 naik secara mendadak sejak belakangan ini.
Kata beliau, dalam tempoh yang sukar dengan peningkatan kes Covid-19 yang mencatatkan 691 kes semalam, SPR sewajarnya mempertimbangkan untuk menangguhkan dahulu PRK Batu Sapi sehingga keadaan kembali selamat.
Menurutnya, sekiranya PRK mahu diteruskan juga, maka SPR boleh mempertimbangkan kaedah lain yang boleh memudahkan pengundi untuk keluar mengundi contohnya mengundi dalam talian atau secara pos.
“Kaedah berkenaan adalah pilihan yang selamat dan menjimatkan kos sebagai alternatif disebabkan peningkatan kes Covid-19 ketika ini.
“Bagaimanapun adalah lebih baik ia tidak diadakan memandangkan Batu Sapi turut berada dalam kawasan zon merah, selain mood pengundi yang bimbang untuk keluar mengundi kerana Covid-19,” katanya.
Mujibu berkata, Parlimen Batu Sapi penting ketika kedudukan kerusi Parlimen antara kerajaan dan pembangkang yang sangat tipis sekarang ini.
“Ini disebabkan kepentingan kerusi itu bagi menguatkan jumlah kedudukan yang sangat signifikan dalam menentukan jumlah majoriti dan kekuatan blok dalam Parlimen.
“Jadi mungkin kepentingan politik akan sekali lagi mengatasi kepentingan umum, maka PRK Batu Sapi akan diteruskan,” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik dari Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed pula berkata, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, PRK perlu dilaksanakan 60 hari selepas Dewan Rakyat mengumumkan kekosongan kerusi tersebut.
Begitupun katanya, melihat kepada kes Covid-19 terkini, SPR perlu merangka strategi yang lebih ketat bagi mengelakkan keadaan yang sama berulang seperti PRN Sabah baru-baru ini.
“Isu mood pengundi yang semakin kurang bukan isu kerana peruntukan Perlembagaan Persekutuan jelas berkaitan perkara itu. Cuma apa yang penting ialah mengelakkan penularan wabak Covid-19 ketika berkempen dan pengundian.
“Justeru, pelbagai pihak perlu berbincang dengan melibatkan pihak lain yang berkepentingan sebelum membuat keputusan sama ada menangguhkan atau mengadakan PRK dengan SOP yang lebih ketat,” katanya.
Ahmad Martadha berkata, perkara itu belum pernah berlaku di mana kerajaan menangguhkan PRK atas sebab-sebab darurat seperti pandemik, namun banyak negara di dunia kini telah menangguhkan pilihan raya mereka kerana Covid-19.
“Malah, terdapat 72 negara yang menangguhkannya tetapi masih ada juga negara yang meneruskan pilihan raya.
“Jadi sebab itu, pihak-pihak yang berkaitan perlu berbincang secara teliti dan mendalam jika kita meneruskan PRK.
“Sekiranya kemudaratannya lebih, maka tidak ada masalah untuk kita menangguhkannya seperti mana yang dibuat kebanyakan negara lain,” katanya.
Isu Batu Sapi
Bekalan elektrik: Penduduk mahu bekalan elektrik disalurkan secara terus melalui Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan bukannya pihak ketiga.
ARTIKEL BERKAITAN:Ahli Parlimen Batu Sapi meninggal dunia
Jasad mendiang Vui Keong disemadikan Isnin ini
Jasa, pengorbanan mendiang terus dikenang: Anwar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!