Tekong lemas, nelayan warga Indonesia hilang bot karam

Lokasi bot nelayan yang dilaporkan karam awal pagi tadi.
Lokasi bot nelayan yang dilaporkan karam awal pagi tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang tekong lemas manakala seorang nelayan warga Indonesia hilang selepas bot nelayan tempatan kelas C dinaiki mereka bersama dua nelayan lain karam di Muka Head, Teluk Bahang di sini awal pagi tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang, Kepten Maritim Hamizan Harun berkata, APMM Pulau Pinang menerima panggilan kecemasan berhubung sebuah bot nelayan tempatan kelas C dilaporkan karam pada jam 2.25 pagi tadi di kedudukan 5.3 batu nautika Barat Daya Muka Head.

Menurutnya, terdapat empat awak-awak termasuk seorang tekong warga tempatan di atas bot berkenaan semasa kejadian berlaku.

"Tiga awak-awak warga tempatan berjaya diselamatkan oleh bot nelayan yang berada sekitar kawasan kejadian, namun salah seorang yang juga tekong bot didapati lemas.

"Sementara itu, seorang lagi awak-awak warga Indonesia masih belum ditemui," katanya ketika dihubungi Sinar Harian tadi.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan oleh Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi sejurus laporan diterima.

"Operasi SAR sedang giat dijalankan oleh pasukan penyelamat yang terdiri daripada APMM, Pasukan Polis Marin, Angkatan Pertahanan Malaysia dan nelayan setempat.

"Orang awam diminta agar melaporkan sebarang penemuan di laut menerusi talian Pusat Operasi APMM Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau 999," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!