Polis nafi tutup jalan di Penjara Reman Pulau Pinang
GEORGETOWN - Polis menafikan penutupan jalan di kawasan Penjara Reman Pulau Pinang susulan terdapat kluster baharu di penjara itu selepas kematian seorang banduan kerana wabak koronavirus (Covid-19) tiga hari lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, mesej yang tular di media sosial berhubung perkara itu adalah tidak benar.
Menurutnya, setakat ini, polis tidak menerima sebarang arahan bagi menjalankan penutupan jalan di kawasan tersebut.
"Saya minta orang ramai supaya berhenti menyebar maklumat kononnya jalan di kawasan Penjara Reman Pulau Pinang ditutup berikutan 'lockdown'. Ia tidak betul dan saya harap masyarakat tidak mempercayainya.
"Jalan di situ masih dibuka untuk lalu lintas seperti biasa, malah polis pun tidak terima arahan penutupan jalan di kawasan tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian tadi.
Terdahulu, satu mesej tular berhubung penutupan jalan di kawasan itu yang meminta orang ramai menggunakan jalan alternatif jika mahu ke Hospital Pulau Pinang yang terletak berhampiran bangunan Penjara Reman Pulau Pinang.
Kelmarin, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Noor Hisham Abdullah mengesahkan seorang lelaki berusia 85 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang di sini.
Lelaki warga emas itu turut mempunyai penyakit darah tinggi dan kesihatan mental.
Susulan daripada itu, semua petugas dan banduan di Penjara Reman Pulau Pinang yang dikesan menjadi kontak rapat dengan banduan lelaki yang meninggal dunia kerana Covid-19 itu dikuarantin dan diasingkan.
Proses kuarantin dan pengasingan itu dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
ARTIKEL BERKAITAN: 6 penjara catat kes aktif Covid-19, Penjara Alor Setar tertinggi
Banduan meninggal dunia kerana Covid-19
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!