Pemimpin pembangkang Kazakhstan didakwa seleweng RM31.15 bilion
Peguamnya, Gerard Cholakian berkata, Abliazov didakwa menyalahgunakan amanah dengan teruk dan melakukan pengubahan wang haram sebelum dia dibebaskan dengan pengawasan mahkamah.
"Kazakhstan tidak akan membiarkan saya (bebas) sehingga saya meninggal dunia. Ia (dakwaan itu) memberi satu tamparan hebat terhadap saya tetapi ia menjadi pendorong kepada saya untuk menyerang rejim (pemerintahan)," kata Abliazov, 37, kepada AFP.
Dia telah ditahan dua hari dan dibawa di hadapan majistret dalam kes itu.
Kerajaan Kazakhstan memfailkan satu aduan di Paris pada tahun 2017 bagi menentangnya dan menuduhnya menyeleweng lebih AS$7.5 bilion dari bank negara tersebut, BTA.
Dia pernah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) BTA sebelum ia dimiliknegarakan pada tahun 2009.
Abliazov dituduh memberikan pinjaman tanpa jaminan kepada beberapa buah syarikat yang dipercayai dia turut mendapat manfaat.
Pada tahun 2016, pihak berkuasa Perancis menolak permintaan untuk mengekstradisinya kerana mendakwa ia mempunyai motif politik.
Abliazov merupakan musuh politik bekas Presiden, Nursultan Nazerbayev yang berkuasa di negara tersebut selama tiga dekad.
Dia melarikan diri ke England dari Kazakhstan kemudian Perancis pada tahun 2013 sebelum ditangkap pihak berkuasa negara tersebut. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!