Covid-19: Ibu bapa bimbang SK Permatang Janggus dibuka esok
KEPALA BATAS - Terdapat ibu bapa dan penjaga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Janggus, Penaga dekat sini yang menyuarakan kebimbangan mengenai langkah membuka semula sekolah itu esok setelah lapan hari ditutup berikutan seorang guru wanita di situ positif Covid-19.
Ibu kepada pasangan kembar yang merupakan murid Tahun Empat sekolah itu, Hasimi Ayu Hashim, 45, berkata, tempoh penutupan sekolah tersebut dirasakan tidak mencukupi bagi mereka yang dikenakan kuarantin dan sepatutnya berlangsung selama 14 hari.
"Rasa bimbang juga sebab tempoh yang diberi sekejap sahaja... sepatutnya kena bagi (cuti kuarantin) 14 hari. Jadi kami rasa ragu-ragu sama ada nak hantar anak ke sekolah atau tidak esok," kata beliau ketika ditemui di rumahnya hari ini.
Hasimi Ayu, yang juga seorang peniaga, berkata, kedua-dua anaknya akan ke sekolah seperti biasa jika keadaan kembali reda.
"Walaupun pihak sekolah ada menyalurkan maklumat terkini mengenai perkembangan di sekolah itu melalui pesanan ringkas di kumpulan dalam aplikasi WhatsApp namun sebagai ibu bapa, kami berasa bimbang dan tidak yakin... tunggulah sampai minggu depan, tengok macam mana," katanya.
Shahrom Hassan, 64, yang merupakan penjaga kepada seorang murid Tahun Dua dan seorang murid Tahun Lima, menasihati anaknya agar tidak menghantar mereka (cucu) ke sekolah selagi tempoh kuarantin selama 14 hari belum tamat.
"Kalau boleh jangan hantar dulu. Sebab risau tempoh yang diberikan itu tidak mencukupi. Harap pihak sekolah faham keadaan ibu bapa dan penjaga yang enggan hantar anak-anak ke sekolah buat masa sekarang sebab mereka bimbang," katanya.
Hasimi Ayu dan Shahrom masing-masing mengakui bahawa anak dan cucu mereka menjalani kuarantin kendiri di rumah iaitu tidak berhubung rapat dengan anggota keluarga lain kerana bimbang akan risiko yang bakal timbul.
Tinjauan Bernama mendapati keadaan di sekolah itu lengang, namun penduduk sekitar sudah mula keluar menjalankan aktiviti kehidupan harian seperti biasa berbanding sebelum ini.
Menurut Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, pembukaan semula sekolah itu membabitkan murid Tahun Tiga, Empat, Lima dan Enam sahaja manakala murid Tahun Satu dan Dua tidak perlu ke sekolah sehingga mereka selesai menjalani tempoh kuarantin sehingga ke tarikh yang akan diberitahu kelak.
Jabatan itu sebelum ini telah mengarahkan sekolah tersebut ditutup selama lapan hari selepas guru wanita terbabit positif Covid-19.
Pengarahnya, Abdul Rashid Abdul Samad berkata arahan itu berkuat kuasa pada 1 hingga 8 Oktober bagi membendung penularan pandemik Covid-19.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!