AS, negara Teluk dan Israel
MENGEJUTKAN apabila dua negara Teluk iaitu Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain mengisytiharkan secara rasmi menjalinkan hubungan dengan Israel yang disebut normalisasi.
Namun, hanya separuh rakyat Amerika berpendapat Israel adalah rakan Amerika Syarikat (AS), malah angka itu menurun terhadap UAE kepada 28 peratus, Arab Saudi (24 peratus), Qatar (18 peratus) dan Palestin (14 peratus). Ia berdasarkan survei baharu dalam kalangan 2,059 orang warga dewasa AS.
Dua ahli akademik Universiti Northwestern di Qatar yang dikomisikan oleh The Harris Poll melakukan survei tersebut yang memberi implikasi kepada lima buah negara Asia Barat itu yang ghairah membina hubungan dengan AS.Majoriti warga AS berpendapat bahawa negara Asia Barat bersikap neutral terhadap AS dan peratusan kecil menganggap negara Asia Barat adalah musuh kepada AS, 32 peratus terhadap Palestin, 31 peratus Arab Saudi, 22 peratus Qatar, 20 peratus UAE dan 16 peratus Israel.
Survei itu turut memberi implikasi kepada kempen Presiden AS, Donald Trump yang mahu menjadikan normalisasi UAE dan Bahrain dengan Israel sebagai kejayaan besar bagi imej beliau.
Ketika lima buah negara itu mendakwa rakan AS, hubungan sesama negara tersebut adalah kompleks. Israel telah menjajah Palestin selama lebih 70 tahun. Arab Saudi dan UAE sejak 2017 mengenakan sekatan ke atas Qatar kerana Qatar mempunyai hubungan dengan Iran, sedangkan UAE berdagang dengan Iran lebih besar daripada Qatar.Arab Saudi dan UAE mendakwa menyokong perjuangan Palestin tetapi dengan menjalin hubungan dengan Israel bermakna menerima penjajahan Israel terhadap Palestin.
Qatar menyokong Palestin. Ia mungkin penyokong paling besar berbanding negara Teluk yang lain.
Israel sangat mahu mengadakan hubungan diplomatik dengan negara-negara Arab, selain hubungannya dengan Mesir (1979) dan Jordan (1994) – bertujuan mengabsahkan posisinya dalam kalangan komuniti antarabangsa, mendapat manfaat ekonomi, mengalih perhatian dunia daripada penjajahannya terhadap Palestin dan skandal korupsi Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu yang kini sedang dibicara.
Hubungan
Sejak menjadi Presiden pada tahun 2016, Trump melakukan beberapa langkah menyokong Israel. Sementara itu, Riyadh dan Abu Dhabi berkempen memburukkan Doha yang didakwa menyokong Iran. Mereka meningkatkan usaha untuk mengukuhkan hubungan dengan Israel dan AS.
Setelah menyokong Washington tanpa syarat dan secara serius mengambil langkah mengadakan hubungan dengan Israel, dunia sedang memerhati apakah Arab Saudi akhirnya akan mengambil langkah normalisasi dengan Israel. Hubungan secara tidak rasmi sudah berlaku.
Daripada survei itu juga,, warga AS umumnya masih tidak pasti terhadap negara-negara tersebut. Warga AS cenderung fokus kepada ehwal domestik berbanding ehwal antarabangsa, apatah lagi krisis kesihatan yang sedang melanda negara itu.
Perjanjian antara UAE dan Bahrain dengan Israel sebenarnya bukan perjanjian 'perdamaian'. Ia tidak menyelesaikan konflik di rantau tersebut, malah menyebabkan kebanyakan warga AS semakin curiga.
Sesungguhnya, tidak seperti Mesir dan Jordan, dua negara yang ada hubungan diplomatik dengan Israel, UAE dan Bahrain tidak pernah berperang dengan Israel. Perjanjian yang dimeterai tertumpu kepada ekonomi dan kerjasama sekuriti.
Mengikut akhbar Israel Haaretz, ahli akademik Marc Owen Jones menyatakan dorongan utama UAE untuk menandatangani perjanjian 'damai' dengan Israel adalah di sebalik tujuan kedamaian. Sebenarnya UAE mahu membeli jet pejuang daripada AS.
Apa pun, warga AS curiga terhadap banyak negara Asia Barat yang mengelilingi Israel. Normalisasi negara Teluk dengan Israel mungkin cuba dipopularkan, namun ia tidak banyak meningkatkan tahap sokongan terhadap Trump.
Bagi Arab Saudi, Israel, UAE, dan Qatar, data yang dikumpul untuk mendapat sokongan warga AS masih boleh ditingkatkan dalam keadaan mereka sendiri berkonflik antara satu sama lain di rantau itu.
* Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!