Pengganas siber sasar Olimpik 2020
DEBARAN sama ada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo akan diadakan atau tidak, sudah pun terjawab. Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mengesahkan perkhabaran itu pada awal September lalu. Ia tentu menggembirakan ramai pihak, khususnya pengurus pasukan berbasikal ke Sukan Olimpik 2020, Datuk Ashakari Abu Noor.
Rakan di Persekutuan Berbasikal Jepun (JCF), Tatsuo Hayashi juga sudah bertanyakan persiapan pelumba trek bertaraf dunia dari Malaysia, Mohd Azizulhasni Awang.
Namun, penulis lebih tertarik untuk mengupas sebuah artikel Daily Mail. Mengikut laporan Tahunan Pertahanan Digital Microsoft 2020 mendedahkan sebanyak 52 peratus serangan siber berlaku di dunia dari Julai 2019 sehingga Jun 2020, dipercayai angkara pengganas siber Rusia. Selebihnya dilakukan penggodam Iran, China, Korea Utara dan negara-negara lain termasuk Malaysia.
Laporan itu juga percaya pengganas siber Rusia menyasarkan serangan tersusun, khususnya terhadap data pengurusan acara sukan Olimpik Tokyo 2020. Meskipun Microsoft percaya serangan siber itu hanya sekarang ‘basa-basi’, namun JCF telah mengambil langkah dan merangka pelan tindakan komprehensif bagi mengatasi serangan pengganas siber Rusia. Sebenarnya ramalan tentang serangan itu sudah berleluasa sejak awal 2018.
Ramalan itu perlu ditangani dengan serius. Serangan siber terawal dan terbesar di dunia berlaku pada tahun 1988. Ia dikenali sebagai Morris worm yang mengambil kesempatan kelemahan terhadap sistem ‘UNIX Noun 1’. Kesannya, Robert Tapan Morris mencipta virus bertujuan memperlahankan ‘kelajuan jam’ dalam unit pemprosesan berpusat (CPU) sehingga proses pengaturcaraan membina sistem aplikasi tidak boleh dilaksanakan.
Kes terbaharu adalah sejak pandemik koronavirus (Covid-19) menyerang dunia. Laporan tabloid MailOnline.com menyatakan Covid-19 telah ‘menawarkan’ kesempatan kepada penjenayah siber menggunakan pelbagai taktik baharu mendapatkan data pelanggan. Pengganas siber juga cuba mencuri maklumat penyelidikan vaksin Covid-19 dari Amerika melalui serangan terhadap institusi penyelidikan perubatan dan universiti sebagaimana didedahkan pegawai Pengurusan Keselamatan Siber Amerika (ACSM).
Penulis percaya, pengganas siber akan cuba merosakkan pelbagai data pengurusan acara Sukan Olimpik. Apatah lagi, Jepun telah berbelanja berbilion dolar bagi menganjurkan temasya sukan terbesar dunia.
Berdasarkan maklumat Ketua Pegawai Keselamatan ACSM, kegiatan kumpulan pengganas siber adalah sebahagian operasi Perkhidmatan Perisikan Rusia (RIS). Wujud kemungkinan bahawa Kremlin telah memberi ‘lampu hijau’ untuk operasi jahat itu.
Ketika ini, difahamkan Amerika, Britain dan Kanada percaya serangan Rusia itu bertujuan mencuri harta intelek supaya Moscow dapat mengembangkan vaksin Covid-19 lebih awal. Serangan terhadap Sukan Olimpik 2020 pula bagi memastikan Jepun lumpuh dalam penganjuran sukan berkenaan.
Justeru, penulis mencadangkan kerajaan Malaysia agar menambah peruntukan dalam Belanjawan 2021 terhadap kerja penyelidikan menghasilkan vaksin bagi menyekat rantaian Covid-19. Belanjawan untuk kerja pembangunan keselamatan siber tercanggih yang bersifat ‘penyelidikan gunaan’ juga mesti ditingkatkan.
Kesimpulannya, penulis percaya kegiatan pengganas siber boleh merosakkan keamanan dunia termasuk melumpuhkan penganjuran Sukan Olimpik 2020 sekiranya tidak dibendung dari sekarang.
* Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteran Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!