PBS, STAR bertanggungjawab atas 'kemenangan' PAS
KOTA KINABALU - Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) harus bertanggungjawab terhadap pelantikan wakil parti Parti Islam Se-Malaysia (Pas) sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah yang dilantik.
Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Junz Wong 'berterima kasih' kepada PBS dan STAR kini berjaya menjadikan Pas melakar sejarah di Sabah.
"PAS tidak pernah diwakili dalam Dewan Negeri kerana politiknya yang melampau ditolak oleh majoriti rakyat Sabah.
"Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu pun kerja PAS cuma pacak bendera. Tetapi oleh sebab pengkhianatan dari PBS dan STAR, seluruh Sabah terpaksa menanggung kerosakan yang sudah bermula," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Katanya lagi, keadaan itu seperti deja vu, lebih banyak bukti sudah timbul dan kerajaan Sabah seperti dikawal oleh 'alat kawalan' oleh Kuala Lumpur selepas kuasa Sabah satu persatu diserah semula kepada mereka.
"Masih ingat bagaimana STAR tuntut bertanding 15 kerusi, tetapi akhirnya tunduk dengan Kuala Lumpur dan bertanding cuma lapan kerusi?
"Masih ingat bagaimana PBS isytihar bersendirian, tetapi akhirnya tunduk dengan Kuala Lumpur dan elak bertembung dengan Perikatan Nasional (PN) di beberapa kerusi," katanya.
Junz yang juga Adun Tanjung Aru berkata, perkara itu sudah dijangka berlaku walaupun amaran sudah diberi berkali-kali.
"Warisan sudah beri amaran kepada rakyat Sabah untuk berhati-hati dengan PN dan Barisan Nasional (BN).
"Saya sudah memberi amaran jangan serah kuasa kepada Kuala Lumpur. Tetapi PBS dan STAR berdegil kerana mereka lebih minat dengan habuan-habuan yang ditawar oleh Kuala Lumpur.
"Jadi tengoklah apa yang sudah terjadi pasca 26 September. Dalam soal pemilihan Ketua Menteri, Sabah dipaksa menunggu kebenaran dan keputusan Kuala Lumpur.
"Dalam soal prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, Sabah pun dipaksa menunggu kebenaran dan keputusan Kuala Lumpur dan kini dalam soal lantikan ADUN dilantik pun, sekali lagi Sabah dipaksa menunggu kebenaran dan keputusan Kuala Lumpur," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!