800,000 penduduk mukim Klang terlibat PKPB
SHAH ALAM - Seramai 800,000 penduduk di mukim Klang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan dilaksanakan bermula esok.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia turut melibatkan 36 kawasan di mukim Klang antaranya Bandar Bukit Tinggi, Kampung Johan Setia, Kampung Bukit Naga, Kampung Perigi Nenas, Kampung Kuantan, Kampung Serdang, Bandar Puteri, Kampung Sungai Kandis dan Taman Sri Andalas.
Beliau berkata, walaupun pelaksanaan PKPB dibuat, Majlis Keselamatan Negara (MKN) menetapkan bahawa semua sektor ekonomi di Klang boleh terus beroperasi dengan pematuhan ketat prosedur operasi standard (SOP).
"Tambahan kepada itu, langkah-langkah tersebut yang dipersetujui oleh MKN akan dilaksanakan untuk mengawal penularan wabak koronavirus (Covid-19) di mukim Klang.
"Dari segi keselamatan, polis akan melaksanakan kawalan termasuk sekatan jalan raya dengan kerjasama ATM (Angkatan Tentera Malaysia), APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) dan Rela (Jabatan Sukarelawan Malaysia)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, dari segi aktiviti harian pula dinasihatkan hanya ketua keluarga yang keluar rumah bagi tujuan mendapatkan bekalan makanan atau keperluan rumah.
"Orang-orang yang berisiko tinggi tidak digalakkan keluar ke kawasan awam, terbuka dan sesak, manakala restoran, kedai, gerai makan, kedai runcit, warung dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi antara jam 6 pagi hingga 10 malam.
"Pembelian makanan digalakkan menggunakan kaedah pandu lalu, penghantaran atau 'take-away' sahaja dan 'dine in' tidak dibenarkan," katanya.
Sementara itu katanya, waktu operasi stesen minyak adalah antara jam 6 pagi hingga 11 malam, pasar biasa (6 pagi-2 petang), pasar borong (4 pagi-2 petang), pasar tani (6 pagi-12 tengah hari), manakala operasi pasar malam adalah tidak dibenarkan dalam tempoh ini.
"Waktu operasi klinik dan hospital kerajaan serta swasta dibenarkan secara 24 jam, sementara farmasi dan kedai menjual ubat-ubatan beroperasi mulai jam 8 pagi hingga 11 malam," katanya.
Amirudin berkata, bagi sektor pendidikan dan premis sosial seperti masjid, surau, rumah ibadat bukan Islam, institut pengajian tinggi awam dan swasta, institut latihan kemahiran, sekolah, tadika, taska, pusat tahfiz, pusat jagaan kanak-kanak, taman awam, pusat rekreasi, 'indoor' dan 'outdoor playground' adalah ditutup dalam tempoh ini.
"Segala aktiviti rumah ibadat juga adalah ditangguhkan sementara sepanjang tempoh ini.
"Semua aktiviti sukan, rekreasi, sosial dan budaya adalah tidak dibenarkan bermula 9 Oktober hingga 23 Oktober ini dan sebarang perkembangan berdasarkan kes Covid-19 di daerah ini akan diteliti dari masa ke masa," katanya.
Menurutnya, bagi menghadapi situasi gelombang ketiga Covid-19, kerajaan negeri melihat bahawa kerjasama utuh antara industri, komuniti dan kerajaan amat perlu untuk memutuskan rangkaian jangkitan ataupun ‘flatten the curve’ virus itu.
Katanya, semua pihak juga perlu sentiasa patuh kepada SOP, pakai pelitup muka apabila perlu keluar dari rumah, guna aplikasi SeLangkah apabila memasuki sebarang premis dan sentiasa menjaga jarak fizikal sekurang-kurangnya satu meter.
ARTIKEL BERKAITAN: MB Selangor umum 36 kawasan terlibat PKPB di Klang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!