Habuk arang batu belenggu penduduk
MELAKA TENGAH - Penghuni lebih 100 buah rumah di Kampung Balik Bukit Tanjung Kling di sini, dibelenggu masalah pencemaran udara dan habuk dipercayai disebabkan oleh perusahaan arang batu yang beroperasi di jeti berdekatan.
Beberapa penduduk melahirkan rasa bimbang dengan mendakwa, ia bukan sahaja menyebabkan kekotoran malah mengundang risiko kesihatan kepada penduduk dan nelayan yang berhampiran.
Salah seorang penduduk Azman Mohd Yatim,55, berkata, mereka telah lama bersabar dengan situasi yang berlaku dan dia bimbang terhadap kesihatan dua anak kembarnya yang berusia 17 tahun yang mengalami asma kronik.
Katanya, lori-lori yang membawa muatan bahan itu melalui kawasan rumah mereka juga didakwa menyebabkan rumah diselaputi debu sehingga mereka terpaksa menutup pintu dan tingkap sepanjang masa.
"Bagaimana kami nak hidup dalam keadaan tidak sihat begini? Kami terpaksa menutup pintu dan tingkap setiap masa kerana bimbang habuk masuk ke dalam rumah bahkan persekitaran rumah juga terpaksa disapu setiap hari serta pakaian yang dijemur di luar sering kotor," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, pihaknya telah banyak kali membawakan isu berkenaan kepada pengusaha arang batu dalam kawasan pelabuhan tersebut namun aduan didakwa tidak dipandang serius.
"Sering kali arang batu yang dibawa lori bertaburan di atas jalan dan bimbang sekiranya bongkah arang batu itu terkena pengguna jalan raya dan tidak mahu ada kemalangan jiwa dilaporkan baharu ada tindakan," katanya.
Ghazali Rosni,61, yang turut meluahkan nasib sama berkata, selama 30 tahun dia sekeluarga tinggal dalam keadaan yang aman namun sejak beberapa tahun ini segalanya berubah disebabkan masalah itu.
Dakwanya, kesihatan isterinya yang menghidap asma sering terjejas dan ia dikhuatiri melarat kepada cucu-cucunya yang masih kecil.
"Kalau boleh pindahkanlah projek ini ke tempat lain dan mungkin sesuai dipindahkan ke Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) yang jauh dari rumah penduduk.
"Saya merayu sangat kepada pihak terbabit untuk menyelesaikan masalah ini dan kalau boleh tutup sahaja tempat arang batu dalam pelabuhan," katanya.
Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor Datuk Nor Azman Hassan yang ditemui di lokasi kejadian berkata, masalah itu menyebabkan ramai penduduk terkesan termasuk beberapa buah kilang berdekatan.
Menurutnya, tindakan pengusaha arang batu itu didakwa begitu melampau dan seolah-olah hanya mengejar keuntungan tanpa memikirkan keselamatan dan kesihatan orang ramai.
Katanya, pihaknya juga komited untuk menyelesaikan isu berkenaan dengan mengadakan pertemuan bersama pengusaha arang batu, pihak Pelabuhan Tanjung Bruas dan jabatan serta agensi terlibat untuk menyelesaikan isu itu dengan segera.
"Sepanjang jalan ada banyak serpihan arang batu bertaburan yang boleh membawa bahaya kepada penduduk bukan sahaja dari segi kebersihan tetapi juga kesihatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!