McPhee fokus litar Le Mans
PELUMBA Moto3 Petronas SRT, John McPhee mahu melupakan kegagalan pada Grand Prix (GP) Catalan dua minggu dan mahu mahu memberikan fokus bagi perlumbaan di litar Le Mans sempena GP Perancis hujung minggu ini.
McPhee berkata, litar berkenaan banyak meninggalkan kenangan manis buat dirinya apabila buat julung kalinya memenangi perlumbaannya yang pertama musim lalu.
Justeru menurut pelumba Britain itu, dia sudah tidak sabar mahu berlumba kali ini kerana mahu mengulangi kejayaan berkenaan.
"GP Perancis tahun lalu adalah salah satu kenangan terindah dalam karier saya setakat ini.
"Saya terlibat dalam kemalangan pada hari pertama, terpaksa melalui kelayakan 1, tetapi akhirnya berjaya muncul juara pada GP berkenaan yang juga kejayaan podium pertama saya bersama Petronas SRT.
"Sukar untuk saya gambarkan perasaan saya ketika itu dan saya sudah tidak sabar untuk kembali berlumba di situ hujung minggu ini," katanya.
Untuk rekod McPhee muncul juara Moto3 musim lalu dengan catatan masa 37 minit 48.689s.Sementara itu rakan sepasukannya Khairul Idham Pawai atau Superkip berkata, litar Le Mans adalah antara litar kegemarannya.
Katanya, litar berkenaan memiliki laluan lurus yang pantas dan ia dilihat penting untuk membantu meningkatkan masa pusingan (lap time)saya lagi kali ini.
"Beberapa perubahan dan penambahbaikan juga telah dilakukan terhadap jentera saya dan ini menjadikan saya mampu untuk bersaing dengan pelumba-pelumba lain hujung minggu ini.
"Biarpun keputusan perlumbaan sebelum ini agak mengecewakan, saya berazam mahu melakukan yang terbaik dan menamatkan perlumbaan dengan keputusan yang lebih baik kali ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!