Beras: Hanya penuhi 53 peratus SSL

Dr Azman Ibrahim
Dr Azman Ibrahim
A
A
A
KUALA TERENGGANU – Pengeluaran padi beras oleh kawasan jelapang padi di Terengganu berjumlah 52,000 matrik tan setahun hanya mampu memenuhi sekitar 53 peratus kadar kecukupan sara diri (SSL) rakyat negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, jumlah pengeluaran padi untuk mencukupkan SSL rakyat negeri ini adalah sebanyak 164,000 matrik tan setahun.

“Rakyat Terengganu ada 1.2 juta orang, dengan mengambil kira purata 82 kilogram seorang setahun kita memerlukan beras sebanyak 98,000 matrik tan.

“Jumlah pengeluaran padi untuk mencukupkan SSL pula adalah sebanyak 164,000 matrik tan dengan mengambil kira 60 peratus padi ditukar menjadi beras dan 40 peratus lagi sekam.

“Dalam negeri Terengganu sekarang, bila kita campur kawasan jelapang dan kawasan luar jelapang, hanya ada sekitar 87,000 matrik tan padi yang mampu menghasilkan 52,000 matrik tan beras.

“52,000 matrik tan hanya sekadar memenuhi 53 peratus SSL, maknanya kita memerlukan sekitar 47 peratus lagi untuk cukupkan keperluan rakyat Terengganu,” katanya menjawab soalan Sulaiman Sulong (Pas-Pengkalan Berangan) tentang jumlah kawasan tanaman padi di negeri ini.

Walaupun hanya mampu memenuhi separuh SSL Dr Azman berkata, rakyat Terengganu tidak berdepan dengan masalah kekurangan beras kerana turut mendapat bekalan daripada luar negeri bagi menampung keperluan masyarakat setempat.

Sebagai usaha meningkatkan jumlah pengeluaran padi, kerajaan katanya mewujudkan pelan jelapang padi fasa2 bagi menambah keluasan kawasan penanaman padi dengan memasukkan 5046 hektar kawasan luar jelapang ke dalam kawasan jelapang.

Permohonan penambahan kawasan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu telah dibuat Jabatan Pertanian negeri pada April lalu dan kini berada pada peringkat kertas dasar di kerajaan pusat.
Artikel Berkaitan:


“Maknanya, bila projek jelapang ini selesai jumlah keluasan kawasan dalam jelapang negeri ini akan meningkat kepada 10369 hektar,” katanya.

Menurut Dr Azman, jumlah keluasan tanaman padi Terengganu setakat ini adalah sebanyak 12,542 hektar iaitu 5322 hektar kawasan dalam jelapang manakala 7221 hektar lagi kawasan luar jelapang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!