Anak pekebun kecil manfaatkan bantuan RISDA
SEREMBAN - Keputusan Muhamad Fadil Mustafa, 46, berhenti kerja sebagai pereka kejuruteraan dan menceburi bidang perniagaan kek lapis Sarawak bukanlah keputusan yang sia-sia kerana kini usahanya membuahkan hasil.
Bermodalkan sebanyak RM30,000, Muhamad Fadil dari Labu, Negeri Sembilan boleh berbangga dengan produknya di bawah syarikat yang diberi nama Inabah Enterprise.
Menjadikan rumahnya sebagai tempat ‘uji kaji’ mempelajari dan menghasilkan pelbagai perisa kek lapis Sarawak, kini usahawan di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) itu mampu membuka kedai sendiri dengan menggaji dua orang pekerja tetap dan seorang pekerja sambilan.
“Saya minat berniaga dan ketika masih bekerja pun saya sudah mula berniaga kecil-kecilan pelbagai produk sehinggalah pada tahun 2001, saya buat keputusan berhenti kerja daripada makan gaji untuk beri fokus sepenuhnya kepada perniagaan.
“Saya pilih untuk berniaga kek lapis Sarawak kerana saya suka memasak dan nampak potensinya, jadi saya minta seorang kenalan dari sana untuk datang ke sini (Seremban) mengajar saya.
“Alhamdulillah, hanya dalam tempoh dua bulan saya sudah mahir membuatnya dan pada tahun 2016, saya mula serius menjual kek lapis Sarawak, malah kini saya mampu menghasilkan sebanyak 30 perisa,” katanya kepada Sinar Harian di sini kelmarin.
Muhamad Fadil berkata, bagi memastikan kek lapis Sarawak yang dihasilkan memenuhi selera pelanggan, beliau menjadikan ahli keluarga dan rakan-rakannya sebagai ‘tukang rasa’.
Menurutnya, apabila melihat komen-komen yang positif, beliau mula memberanikan diri menjualnya dan kini berbangga kerana mampu menjana pendapatan mencecah sebanyak RM150,000 setahun.
“Saya bersyukur kerana mendapat pelbagai bentuk bantuan daripada RISDA dari segi peralatan dan pembungkusan sehinggalah sijil halal dengan jumlah keseluruhan bantuan diterima berjumlah RM50,000.
“Tanpa bantuan RISDA dan agensi lain yang berkaitan, sukar untuk saya berada pada tahap sekarang kerana bagi mengembangkan perniagaan, kita memerlukan modal yang besar,” katanya.
Beliau berkata, pelbagai kursus dan peluang mengembangkan perniagaan disediakan oleh RISDA yang menjadikannya lebih yakin untuk terus maju dalam perusahaan kek lapis Sarawak.
Malah, menurutnya, dengan bantuan RISDA, kek lapis Sarawaknya mampu berada di pasaran dan kini dikenali bukan sahaja pelanggan di Negeri Sembilan, malah di negeri-negeri lain.
“RISDA adalah pemudah cara untuk produk kita lebih cepat berada di pasaran,”katanya.
Ditanya mengenai keputusannya menceburi bidang perniagaan, Muhamad Fadil berkata, tiada jalan mudah untuk berjaya melainkan usaha tanpa jemu.
Paling penting, katanya, setiap orang yang mahu menceburi perniagaan perlu tahu produk yang mahu dijual.
Terima ‘lamaran’ RISDA menerusi Program AET
Bermula dengan menyediakan perkhidmatan bekalan perabot dan barangan alat tulis, Muhammad Hasan, 37, melangkah lebih jauh dengan menceburi bidang percetakan dan pengiklanan.
Keputusan graduan Diploma Multimedia sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) itu untuk menerima ‘lamaran’ RISDA menerusi Program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) ternyata membantunya untuk mengembangkan lagi perniagaan yang mula diceburi pada tahun 2006.
“Ketika itu saya buat ‘trading’ bekalan kepada kerajaan dan swasta secara kecil-kecilan. Pada tahun 2012, saya kembangkan lagi bisnes dengan menyediakan perkhidma-tan rubber stamp dan gegantung.
“Disebabkan minat dalam bidang grafik, saya melangkah lagi ke depan dengan menceburi dunia percetakan dan pengiklanan dengan modal kira-kira RM100,000.
“Tahun 2018 adalah tahun perkenalan saya dengan RISDA. Banyak input yang saya dapat terutama peluang menerima geran bantuan bagi mengembangkan perniagaan,” katanya kepada Sinar Harian di sini kelmarin.
Menurutnya, sebagai anak pekebun kecil, beliau berpeluang menerima bantuan geran di bawah program AET sebanyak RM10,000 yang membolehkannya melonjakkan lagi perniagaan yang diceburi.
Katanya, bantuan yang diterima tidak berhenti setakat itu sahaja, malah beliau turut diberi kursus dan latihan yang dapat meningkatkan ilmu perniagaannya.
“Jika dahulu, saya hanya mampu membeli mesin percetakan tahap sederhana tetapi dengan bantuan RISDA, saya mampu tambah lagi mesin yang lebih moden dan sudah tentu kualiti kerja saya lebih baik, cepat dan lebih banyak tempahan pelanggan boleh diterima.
“Contohnya, jika harga mesin RM60,000, dengan bantuan RISDA, saya boleh tambah modal yang saya ada. RISDA adalah agensi pertama yang saya terbuka hati untuk terima bantuan kerana selama ini saya guna modal sendiri,” katanya.
Lebih menggembirakan Muhammad apabila beliau terpilih menyertai Program Gromm Big Usahawan bimbingan RISDA yang membolehkannya menyediakan pengiklanan terkini kepada pelanggan.
Katanya, bermula dengan tiga orang pekerja, dia kini mempunyai seramai 11 orang pekerja.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!