PKPB: Sekatan jalan raya di Kampung Bukit Naga
SHAH ALAM - Polis membuat sekatan jalan raya di Kampung Bukit Naga, Seksyen 32, di sini bagi daerah Shah Alam susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuat kuasa hari ini berikutan penularan koronavirus (Covid-19).
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, sekatan jalan raya yang beroperasi 24 jam itu berada di bawah pentadbiran Balai Polis Sri Muda yang menghubungkan laluan sempadan antara daerah Klang dan Shah Alam.
"Selain itu, elemen-elemen lain seperti Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) akan menjalankan pemantauan secara berkala bagi memastikan laluan masuk berjalan dengan lancar.
"Rondaan itu juga sebagai hebahan mematuhi prosedur operasi standrad (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, orang ramai yang ingin keluar dan masuk ke kawasan Bukit Tinggi (Bayu Perdana, Flat Sri Angkasa, Apartment Vista Bayu dan Bayu Villa) dan Taman Sri Andalas dinasihatkan untuk mendapatkan surat kebenaran daripada pihaknya.
Katanya, surat kebenaran itu boleh didapatkan di Balai Polis Bergerak di lokasi tersebut.
Tambahnya, masyarakat dinasihatkan sentiasa mematuhi PKPB dan tindakan kompaun akan dikenakan sekiranya terdapat ketidakpatuhan kepada SOP PKPB.
"Sila hubungi Bilik Gerakan Op Covid-19) di talian 03-33762400 sekiranya ada sebarang pertanyaan atau aduan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!