Lima tragedi di laut dua hari berturut-turut: APMM
PUTRAJAYA - Lima kes kecemasan di laut direkodkan bagi tempoh dua hari di Selangor, Pulau Pinang dan Sarawak, sejak Rabu.
Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, mengikut pecahan yang direkodkan, satu kes dilaporkan berlaku di Pahang pada 7 Oktober lalu.
Menurutnya, pada hari berikutnya pula mencatatkan empat kes iaitu dua di Selangor manakala dua lagi masing-masing di Sarawak dan Pulau Pinang.
"Seramai 17 mangsa terlibat dalam insiden terbabit yang mana 12 daripadanya berjaya diselamatkan, satu kematian dan empat lagi masih belum ditemui sehingga kini.
"Semua mangsa adalah nelayan yang menggunakan vesel jenis kelas A dan C serta bot pancing fiber," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, menurut Jabatan Meteorlogi Malaysia, cuaca buruk dengan hujan lebat serta angin kencang diramalkan berlaku di perairan selat Melaka dan Pantai barat Sarawak berikutan musim peralihan monsun yang bermula 24 September lalu.
Katanya, pihaknya mengingatkan semua yang berhasrat melakukan aktiviti di laut agar mengambil langkah-langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik, membawa Personal Locator Beacon (PLB), maklumkan destinasi anda kepada ahli keluarga, membawa bekalan makanan secukupnya serta mengelakkan aktiviti di luar kawasan liputan telekomunikasi.
"Orang awam diminta melaporkan sebarang kejadian kecemasan dan kemalangan di laut ke talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri seluruh Malaysia," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!