Individu hina Abdul Hadi didesak mohon maaf

Muhammad Zaidan Abdullah
Muhammad Zaidan Abdullah
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pemuda Pas Terengganu mengecam tindakan seorang individu dipercayai seorang pemimpin parti politik yang menghina Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di laman sosial Facebook.

Setiausahanya, Muhammad Zaidan Abdullah berkata, tindakan individu terbabit yang membuat hantaran di Facebook dengan membandingkan dan menyamakan Abdul Hadi sebagai Jesus adalah tindakan yang melampau.

“Pemuda Pas Terengganu mewakili anak muda Terengganu memandang serius isu penghinaan terhadap Presiden Pas, yang bukan sahaja bersifat fitnah dan menghasut, bahkan penghinaan terhadap agama Islam yang dilakukan secara terang-terangan tanpa menjaga sensitiviti umat Islam di negara ini.

“Ia amat mengguris hati umat Islam dan tindakan seperti ini tidak boleh dibiarkan berleluasa. Penghinaan ini telah mencetuskan kemarahan anak muda dan umat Islam yang hidup dalam keadaan harmoni selama ini.

“Kami mendesak agar individu terbabit segera memohon maaf secara terbuka atas kenyataan beliau yang melampau sebagai seorang penganut agama Islam. Beliau juga harus beristighfar dan bertaubat atas fitnah yang dahsyat ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pihak berkuasa digesa mengambil tindakan tegas terhadap individu terbabit bagi mengelak perkara sebegini berulang dan menimbulkan kekecohan.

“Islam mengajar umatnya berlumba-lumba melakukan kebaikan, tidak melakukan fitnah dan jujur dalam kehidupan seharian.

"Ini menunjukkan agama Islam mengutamakan kedamaian, menghormati agama lain dan mengharamkan fitnah dilakukan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!