PH Johor sedia berdepan perubahan politik Selasa ini

Aminolhuda Hassan
Aminolhuda Hassan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pakatan Harapan (PH) Johor bersedia menghadapi apa juga situasi yang akan berlaku di negeri tersebut termasuk perubahan landskap politik.

Pengerusinya, Aminolhuda Hassan berkata, beliau mengambil maklum kenyataan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan dengan perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa depan.

Katanya, jumlah kerusi dimiliki antara kerajaan negeri di bawah Perikatan Nasional ( PN) dan pembangkang Pakatan Harapan ( PH) cukup tipis iaitu 29 dan 27 kerusi.

"PH Johor bersedia berdepan apa juga keadaan pada Selasa depan. Ini termasuklah kemungkinan kembali memerintah semula negeri ini.

"Buat masa ini belum ada sebarang perbincangan menerusi mesyuarat diadakan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) PH Johor iaitu dari Parti Amanah Negara ( Amanah), PKR dan DAP. Tetapi masing- masing sedia maklum tentang Selasa ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Amanah Johor berkata proses perubahan kerajaan negeri juga bergantung kepada situasi politik semasa jika berlaku peralihan kuasa melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

Semalam Anwar mendakwa, Seri Paduka Baginda telah memperkenankan permintaannya untuk bertemu pada 13 Oktober ini dan akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti ahli Parlimen yang kukuh.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar menghadap Agong Selasa ini

Artikel Berkaitan:

Pada 23 September lalu, Anwar memaklumkan sudah diperkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong sehari sebelum itu, namun ditangguhkan kerana Seri Paduka menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Pecahan kerusi di Johor bagi PN iaitu UMNO (14) Bersatu (12), MIC ( 2) dan Pas ( 1) manakala PH iaitu DAP (14), Amanah (9) dan PKR (4).