Sidang DUN Pulau Pinang diteruskan

Datuk Law Choo Kiang
Datuk Law Choo Kiang
A
A
A

GEORGETOWN - Persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang (DUN) akan diteruskan namun jumlah kehadiran termasuk ketua-ketua jabatan akan dihadkan berikutan penularan pandemik Covid-19.

Speaker DUN Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang berkata, bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), persidangan kali ini akan dijalankan mengikut Prosedur Operasi Standard Am Pelaksanaan Majlis yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Beliau berkata, persidangan itu akan dilaksana dengan langkah-langkah pencegahan penularan pandemik Covid-19 seperti yang telah dinasihatkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang.

"Prosedur disinfeksi pada permukaan dan tempat kritikal akan dilakukan sebelum persidangan, saringan serta pemeriksaan suhu badan akan dilakukan kepada semua yang hadir dan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter akan dilaksanakan," menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Choo Kiang berkata, susunan kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri semasa persidangan juga akan dijarakkan dengan tambahan penghadang lut sinar bagi setiap tempat duduk.

Katanya, pihak media tidak digalakkan hadir untuk membuat liputan sebaliknya dinasihati mengikuti persidangan itu yang bersiaran secara langsung di laman sesawang rasmi DUN.

Persidangan dewan, yang dijadualkan bermula pada Isnin depan hingga 19 Oktober itu, akan diadakan di bangunan Dewan Sri Pinang kerana bangunan Dewan Undangan Negeri di Jalan Light masih di bawah kerja-kerja pemulihan.- Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!