Kegiatan kontraktor simpan beratus tong minyak kotor terbongkar

Beratus-ratus tong berisi minyak kotor yang disimpan di kawasan tanah persendirian di Kampung Balik Bukit, Tanjung Kling.
Beratus-ratus tong berisi minyak kotor yang disimpan di kawasan tanah persendirian di Kampung Balik Bukit, Tanjung Kling.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Aduan mengenai kebocoran minyak yang diterima oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka di Balik Bukit, Tanjung Kling di sini kelmarin, membongkar perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang menyimpan beratus-ratus tong minyak kotor di sebuah kawasan tanah persendirian.

Kegiatan menyimpan minyak di kawasan berkunci itu didakwa didalangi kontraktor yang dilantik sebuah syarikat minyak untuk menguruskan bahan buangan tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan berkata, beliau kecewa dan terkilan dengan sikap pihak itu yang mengambil sikap sambil lewa menyimpan minyak kotor di kawasan berhampiran sebuah kilang yang mungkin boleh mengundang risiko berlakunya letupan.

Menurutnya, beratus-ratus tong minyak itu dipercayai disimpan bertahun lamanya tanpa disedari penduduk sekali gus menunjukkan pihak terlibat hanya mengejar keuntungan tanpa mempedulikan kesan kepada alam sekitar.

"Jika berlaku letupan atau pencemaran minyak, rakyat setempat yang tidak tahu menahu mengenai perkara ini akan menjadi mangsa.

"Sebagai wakil rakyat, saya marah dengan apa yang berlaku dan perbuatan ini sangat tidak bertanggungjawab," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Tambah Nor Azman, beliau juga telah dihubungi pengurusan syarikat minyak tersebut dan memaklumkan mereka sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti individu yang melakukan perbuatan itu.

"Saya juga nak beri peringatan kepada syarikat minyak janganlah sewenang-wenang melantik kontraktor sehinggakan alam sekitar dan rakyat menjadi mangsa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut Nor Azman berkata, beliau menghargai tindakan pantas pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) JBPM dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri yang mengambil tindakan pantas ke kawasan tersebut bagi mengambil tindakan.

Sementara itu, Pengarah JAS Melaka, Rosli Osman berkata, kes tersebut masih dalam siasatan dan difahamkan kementerian berkaitan akan mengeluarkan kenyataan mengenai insiden itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!