STAR, PBS bukan pengkhianat
KOTA KINABALU - Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) bukan pengkhianat, sebaliknya kedua-dua parti itu adalah penyelamat kepada rakyat Sabah terutama kepada Orang Asal Sabah (OAS).
Timbalan Ketua Bahagian STAR Tandek, Ir Jovilis Majami berkata, pihaknya menyangkal dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru, Datuk Junz Wong yang mengatakan STAR dan PBS adalah pengkhianat susulan pelantikan wakil Pas sebagai ADUN dilantik.
Menurutnya, ADUN Tanjung Aru itu mungkin terlupa bahawa kerajaan Warisan Plus juga turut membenarkan Bendahari DAP Sabah yang berasal dari Pulau Pinang dilantik sebagai ADUN lantikan.
"ADUN Tanjung Aru itu sepatutnya terlebih dahulu mengusir DAP sebelum membuat kenyataan menuduh STAR dan PBS pengkhianat.
"DAP adalah sebuah parti dari semenanjung dan turut dikaitkan dengan sikap mereka yang rasis dalam mempertahankan kaum mereka, namun Warisan Plus pada 2018 telah melantik beberapa wakil DAP sebagai ADUN lantikan sehingga ada yang memegang portfolio menteri penuh," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Berhubung dakwaan bahawa STAR tunduk pada Kuala Lumpur dengan hanya bertanding lapan kerusi berbanding 15 kerusi yang diminta, Jovilis meminta Junz membuat kajian dan membaca laporan media sebelum mengulas sesuatu isu.
"Apa yang berlaku sebenarnya ialah 24 kerusi Kadazan Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) sudah dipersetujui untuk diberikan kepada STAR dan PBS dalam Perikatan Nasional (PN).
"Maka sedikit pergeseran berlaku antara kedua-dua parti KDMR ini dan bukannya melibatkan Kuala Lumpur," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!