Bayi lemas tersembam dalam baldi

Superintendan Suffian Sulaiman
Superintendan Suffian Sulaiman
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang bayi lelaki ditemui lemas dalam baldi bilik air di kediamannya di Bukit Tunggal, Kuala Nerus, tengah hari semalam.

Sebelum itu, bayi lelaki berusia setahun 6 bulan berkenaan dilaporkan tiada di dalam bilik tidur, namun ditemui dalam keadaan tersembam dan kebiruan dalam baldi, kira-kira jam 12.30 tengah hari oleh ahli keluarganya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman berkata, kejadian itu dipercayai berlaku ketika ahli keluarganya sedang tidur.

“Mengikut laporan awal, bapanya bangun tidur pada jam 12 lebih kerana kepenatan bekerja. Tapi, apabila dia bangun, dia dapati anak bongsu daripada 9 beradik itu tiada di dalam bilik. Dia kemudian bertanyakan pada isterinya dan mencari di dalam rumah.

“Bagaimanapun, apabila buka bilik air, mereka dapati muka anaknya sudah kebiruan akibat tersembam di dalam baldi dengan kaki ke atas,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini, hari ini.

Jelas Suffian, bayi itu kemudiannya dikejarkan ke Klinik Kesihatan Bukit Tunggal, Gong Badak dan doktor berusaha menyelamatkan mangsa selama kira-kira 50 minit, sebelum disahkan meninggalkan dunia.

Katanya, hasil bedah siasat yang dijalankan, mengesahkan bayi berkenaan mati akibat lemas dan pihaknya mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!